Yayasan Petronas sumbang kelengkapan sekolah kepada hampir 3,000 pelajar

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Datuk Dr Annuar Rapa'ee menyampaikan kit bilik darjah kepada pelajar sekolah rendah yang lain.

KUCHING: Yayasan Petronas menyumbang kelengkapan sekolah kepada 2,940 pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah rendah di Sarawak melalui program ‘Memperkasa Pengetahuan: Kembali Ke Sekolah (Powering Knowledge: Back- to-School (BTS 2023).

Pek BTS 2023 akan diagihkan kepada pelajar terpilih dari 240 sekolah di Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Padawan, Serian, Simunjan, Sri Aman, Lubok Antu, Betong, Saratok, Sarikei, Maradong, Julau, Kanowit, Sibu, Song, Kapit, Daro, Dalat, Miri, Tatau, Sebauh, Belaga, Baram, Miri, Lawas dan Limbang melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Setiap pelajar menerima baucar yang boleh ditebus untuk satu set pakaian seragam sekolah, sepasang kasut hitam, stokin dan pakaian sukan.

Di samping itu, kit bilik darjah yang terdiri daripada beg sekolah, pensel warna dan set alat tulis akan diedarkan kepada pelajar sekolah rendah manakala pelajar sekolah menengah juga akan menerima kit bilik darjah yang sama serta kalkulator saintifik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas Shariah Nelly Francis, Yayasan Petronas komited terhadap kejayaan akademik pelajar kerana mereka memahami pentingnya pelajar dilengkapi dengan keperluan bilik darjah untuk bukan sahaja membantu mereka tinggal di sekolah, tetapi juga untuk berkembang maju di bilik darjah masing-masing.

“Dengan menyediakan kelengkapan sekolah yang penting kepada pelajar melalui BTS 2023, kita dapat membantu menyediakan mereka untuk berjaya dan memastikan mereka mempunyai kelengkapan yang lengkap untuk menghadapi cabaran penggal persekolahan baharu,” katanya pada Majlis Pelancaran BTS 2023 yang diadakan di Auditorium Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak (JPNS), hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat negeri Datuk Dr Annuar Rapa’ee. Hadir menyaksikan pelancaran program tersebut.

Program Memperkasa Pengetahuan : Kembali Ke Sekolah bermula lebih 10 tahun lalu sebagai sebahagian daripada matlamat Petronas untuk membolehkan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk terus mengambil bahagian dalam proses pendidikan dan menamatkan sekolah, di samping membantu mengurangkan beban kewangan ibu bapa mereka.

Tahun ini, Yayasan Petronas telah menyumbang bekalan sekolah penting kepada 21,000 pelajar sekolah rendah dan menengah rendah di seluruh Malaysia, sejajar dengan permulaan tahun akademik 2023.

Berkaitan