Wujudkan jawatan baharu

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Zulkiflee Sebli

KUCHING: Kerajaan Persekutuan yang secara dasar bersetuju untuk mengembalikan hak autonomi pendidikan kepada Sarawak dilihat mampu menyelesaikan pelbagai masalah berhubung sektor tersebut di negeri ini.

Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Zulkiflee Sebli berkata, antara masalah yang berlaku di negeri ini ialah isu kekurangan guru yang agak kritikal.

“Justeru, kami yakin dengan hak autonomi tersebut Kerajaan Sarawak dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak bersama kesatuan guru di negeri ini dapat membentuk jawatankuasa bagi membincangkan masalah khususnya di sekolah termasuk kekurangan guru dan sekolah daif.

“Kami juga bersyukur sekiranya Sarawak diberikan autonomi pendidikan selepas ini,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, semalam.

Sehubungan itu, tambahnya, dengan adanya hak autonomi, jawatan-jawatan baharu mungkin boleh diwujudkan di sekolah melibatkan negeri ini termasuk jawatan pembantu guru, pembantu makmal dan warden sekolah.

Menurutnya, KGBS melihat ketiga-tiga jawatan itu penting dan perlu ada di setiap sekolah negeri ini sekali gus sebagai perintis supaya dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain. “Misalnya jawatan pembantu makmal khususnya di sekolah rendah.

Di sekolah rendah gred A, tiada jawatan pembantu makmal walaupun sekolah-sekolah berkenaan mempunyai makmal sains yang lengkap.

“Makmal sains menjadi ‘gajah putih’ kerana tiada pemantauan dan pengurusan. Hanya guru sains yang dapat menguruskan makmal secara sambilan kerana komitmen mengajar kelas-kelas lain.

“Makmal yang tidak diurus dengan sepenuh masa pasti mendatangkan bahaya kepada murid-murid. Dengan adanya jawatan itu, maka makmal dapat diuruskan dengan baik dan guru dapat fokus mengajar,” tegasnya.

Dalam hal berkaitan, beliau memberitahu begitu juga dalam membantu urusan pentadbiran jawatan pembantu guru pasti melancarkan proses pengajaran guru-guru di sekolah kerana mereka dapat fokus kepada murid-murid di dalam kelas.

“Jadi, KGBS yakin jika ini menjadi kenyataan, sudah pasti guru-guru kita lebih seronok mengajar sekali gus dapat mengurangkan tekanan mereka,” ujarnya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mendedahkan Kerajaan Persekutuan secara dasarnya bersetuju mengembalikan hak autonomi dalam pendidikan dan kesihatan kepada Sarawak.

Katanya, persetujuan secara dasar oleh Kerajaan Persekutuan terhadap kedua-dua autonomi itu akan mengukuhkan lagi hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sementara itu, Zulkiflee juga berterima kasih kepada Fadillah atas berita baik untuk rakyat di negeri ini

Berkaitan