Wajib bayar zakat ftrah

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

SARATOK: Umat Islam yang berkemampuan digesa untuk menunaikan zakat fitrah dengan kadar RM7 yang ditetapkan bagi seorang individu.

Adun Kalaka Mohamad Duri berkata, zakat fitrah merupakan zakat diri yang difardukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan Muslim berkemampuan, dengan syaratsyarat yang ditetapkan.

Menurutnya, Jabatan Mufti Negeri Sarawak menetapkan kadar zakat fitrah untuk Sarawak pada tahun tahun ini RM7 seorang.

“Ini satu tuntutan agama yang jelas dalam al-Quran seperti dalam surah an-Nur ayat ke-56, yang berbunyi… dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta keluarkanlah zakat dan taatlah kepada rasul supaya kamu beroleh rahmat.

“Untuk tujuan itu, pelbagai kemudahan pembayaran disediakan termasuk secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi ceramah zakat, wakaf dan fidyah oleh pihak Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) di Surau Nur Ihsan Balai Bomba dan Penyelamat Saratok, malam kelmarin.

Jelasnya, pembayaran zakat fitrah secara dalam talian boleh dibuat menerusi portal rasmi Baitulmal Kamek dan aplikasi TBS.

“Selain itu, melalui perbankan dalam talian atau e-dompet seperti S Pay Global, Maybank2U, Maybank QRPay, Bank Muamalat QRPay, MyEG dan SnapNPay.

“Atau bagi mereka yang dekat dengan kaunter TBS, boleh membuat pembayaran di situ. “Juga boleh melalui 783 amil di seluruh Sarawak.

Kalau singgah di bazar Ramadan, biasanya ada kaunter amil boleh dibayar di situ,” ujarnya.

Mohamad menambah, orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya adalah individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya daripada keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.

“Kedua, anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari.

“Ketiga, memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir Ramadan dan berkekalan Islamnya.

“Dan keempat, seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadan,” katanya.

Pada sesi tersebut juga Pegawai Baitulmal Cawangan Sarikei Anna Azfar Awi berkongsi cara memohon bantuan TBS menerusi portal Baitulmal Kamek.

Menurutnya, inisiatif mewujudkan portal tersebut merupakan salah satu kaedah menyalurkan agihan zakat kepada asnaf, yang mana pihak TBS telah menyediakan tiga program utama.

“Antaranya Program Mengukuhkan Tradisi Kelimuan, Program Memantapkan Kebajikan Ummah dan Program Membangunkan Institusi Islam,” tambahnya.

Pegawai Daerah Saratok Haron Mahidi dan Ketua Bomba dan Penyelamat Saratok Putra Ila turut hadir.

Berkaitan