Ungkit keturunan Bugis: Mahathir lepas dendam kesumat terhadap Najib, kata Pas

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir  Mohamad  Sabtu lalu seakan melepaskan dendam kesumatnya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak  setelah beliau dihina dan diaibkan mengenai keturunannya beberapa bulan lepas, kata Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.

Menurut Dr Riduan Mohd Nor,  apa yang dikesalkan ialah penyokong Pakatan Harapan dan pemimpin yang hadir pada malam itu tidak sedikit pun menegur sikap biadap bekas Perdana Menteri itu kerana melontarkan penghinaan ke atas pemimpin negara.

Katanya, ketika Tun Dr Mahathir dihina oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan kenyataan perkauman, pemimpinnya bangkit menyatakan kemarahan.

“Ada laporan polis, ada usaha mengangkatnya sebagai usul tergempar di Parlimen, kenyataan yang mengutuk balas dan lain-lain lagi,” ujarnya.

Dr Riduan Mohd Nor

“ Namun ketika Tun Dr Mahathir pula mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan menghina keturunan PM pula, mereka diam membisu. Apakah hukum penghinaan boleh diterjemah dalam dwi tindakan, untuk pemimpin mereka – ya itu satu penghinaan, tetapi jika pemimpinnnya menghina – itu bukan menghina!,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam ceramah Himpunan Antikleptokrasi di Padang Timur, Petaling Jaya pada minggu lepas  Dr Mahathir mengungkit mengenai keturunan Najib yang berbangsa Bugis.

Katanya lagi,  melabelkan Bugis sebagai lanun adalah kenyataan yang tidak boleh diterima oleh masyarakat.

Kata Dr Riduan, politik Malaysia kelihatan hodoh apabila sentimen perkauman, keturunan dan bangsa mengambil tempat dengan tindakan ejek mengejek dan menghina antara satu sama lain.

“Rakyat melihat pemimpin kekeringan idea dalam pembangunan negara sehingga menjadikan isu peribadi termasuk keturunan sebagai bahan jenaka dan kutukan. Pemimpin seperti ini adalah pemimpin yang tidak ada akhlak dan tidak menghargai keharmonian serta perpaduan kaum di negara ini,” katanya lagi.

Beliau berkata, mereka ialah pemecah belah keutuhan ummah dengan usaha memercikkan api kemarahan bangsa dan kaum tertentu agar rakyat berpecah.

Menurutnya, tindakan Dr Mahathir merendahkan dirinya sendiri sebagai seorang negarawan yang dihormati di dalam dan luar negara.

“Beliau memperlihatkan sikap terdesak untuk menjatuhkan Perdana Menteri sehingga menggunakan apa sahaja senjata yang ada untuk dihalakan ke atas musuh politiknya.  Rakyat juga merasakan semua gerak langkahnya kini lebih kepada dendam peribadi kepada Perdana Menteri daripada memperjuangkan rakyat dan negara,” ujarnya.

“Beliau kini menanggung akibat dari ketelanjuran dan keceluparannya itu. Satu demi satu laporan polis, kenyataan balas, menghina dan merendahkan dirinya keluar dari pemimpin bawahannya atau pihak lain,” tambahnya.

“Silap beliau kini, bukan sahaja pelurunya tidak tepat ke sasarannya, malah tersasar dan mengena banyak pihak. Tidak ada cara bagi meredakan kemarahan banyak pihak ke atasnya, melainkan memohon maaf atas kenyataannya itu dan tidak menjadikan kenyataan itu sebagai senda gurau,” katanya.

Dr Riduan berkata,  ia juga sebagai peringatan paling tepat kepada semua ahli politik, agar menjauhi sentimen perkauman, bangsa dan keturunan jika mahu menang dalam  pilihan raya umum (PRU) ke-14. – Sarawakvoice

Berkaitan