KUALA LUMPUR: Walaupun aplikasi khidmat kongsi sewa, Uber, menyambut baik keputusan kerajaan untuk membenarkan ia beroperasi, adalah jelas syarikat itu mahu mengekalkan status quonya sekarang.
Dengan kelulusan bersyarat yang diberikan pada 23 April, di tengah-tengah bantahan meluas oleh pemandu teksi, perniagaan Uber dijangka terjejas.
Penetapan supaya semua pemandu Uber memiliki lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) dijangka menjadi masalah utama yang dihadapi Uber, terutama kebanyakan mereka adalah pemandu sambilan.
Seorang daripadanya, Amin Arshad yang bekerja sebagai ejen insurans pada sebelah siang dan merupakan pemandu peribadi Uber pada sebelah malam.
“Saya sudah mempunyai lesen memandu yang sah. Uber terkenal di peringkat global menawarkan aplikasi khidmat kongsi sewa, menggunakan pemandu yang selamat.
“Sekarang saya diberitahu mesti memiliki lesen PSV. Untuk mendapatkannya, saya harus menduduki ujian yang akan menuntut banyak masa saya,” kata pemuda berusia 32 tahun ini.
Seperti pemandu Uber yang lain, beliau mempersoalkan keperluan bagi pemandu sambilan sepertinya untuk memiliki lesen PSV.
“Kami selalu pastikan penumpang kami berasa selamat. Kami memandu dengan berhati-hati dan tidak memandu laju. Anda boleh bertanya kepada penumpang kami. Mereka akan beritahu anda bagaimana kami melayan mereka,” kata Amin.
Bagi Shahful Shafiq yang kerap menggunakan perkhidmatan Uber, beliau memilih Uber kerana ia boleh dipercayai, mudah dan murah berbanding teksi biasa.
“Jika saya menempuh perjalanan yang jauh, saya bayar tambang kurang 40 peratus berbanding harga teksi biasa,” kata pereka grafik berusia 30 tahun ini.
“Pengguna Uber tidak perlu risau untuk menyediakan wang kecil kerana tambangnya akan didebit terus dari akaun kami, dan kami turut diberi resit,” kata Shahful.
Seorang lagi pengguna, Sabira Lokman berkata beliau suka sistem Uber yang menetapkan tambang sebelum perjalanan bermula.
“Tambangnya adalah sangat berpatutan dan anda tidak perlu risau akan dikenakan bayaran lebih jika anda terperangkap dalam kesesakan lalu lintas,” katanya.
Sabira, 29, berkata beliau beralih menggunakan perkhidmatan Uber kerana pernah ‘terkena’ dengan segelintir pemandu teksi biasa yang enggan menggunakan meter dan mengenakan tambang yang tinggi kepadanya.
Sebahagian pula yang menggunakan meter, akan sengaja melalui jalan yang jauh, kata jurutera awam ini.
Bagi tutor peribadi, Vijayaletchumi Subbiah, 55, beliau memuji kemudahan dan keselesaan yang disediakan Uber.
“Dengan aplikasi yang ditawarkan, saya boleh mendapatkan perkhidmatan Uber bila-bila masa dan di mana sahaja.
“Saya bayar tambang pada harga yang tetap, yang sesuai dengan kemampuan saya berbanding pemandu teksi biasa yang tidak menentu harganya,” kata beliau.
Menyuarakan pandangan pemandu teksi, Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (Persim) berkata Uber sepatutnya tidak boleh beroperasi.
Terdapat lebih 37,000 teksi di Lembah Klang sahaja, dan kira-kira 33,000 orang di seluruh negara sedang menunggu permit teksi, kata Timbalan Pengerusi Persim Kamaruddin Hussein.
Beliau berkata Uber akan menimbulkan persaingan yang tidak adil dalam industri yang sudah sesak itu.
Pengerusi Persatuan Teksi Bajet Rawang Aziz Lebai Milin juga berkongsi pandangan sama: “Saya tidak setuju untuk membenarkan (Uber dan Grabcar beroperasi) dengan syarat memiliki lesen. Pemandu teksi akan menghadapi persaingan sengit sesama mereka dan juga aplikasi khidmat kongsi sewa ini”.
Usahawan Datuk Shamsulbahrin Ismail, yang memiliki beberapa teksi, memilih langkah konsiliasi. Beliau mahu kerajaan menetapkan tambang teksi, Uber dan Grabcar.
“Mengawal dan menetapkan harga tambang akan membantu mengatasi isu ini dan memberi keyakinan semula orang ramai terhadap perkhidmatan teksi,” katanya.
Pengurus Besar Uber Leon Foong, dalam e-melnya kepada Bernama berkata: “Kami menyambut baik pengiktirafan kerajaan bahawa khidmat kongsi sewa adalah penyumbang positif kepada pelanggan, pemandu dan bandar raya”.
Beliau berkata peraturan itu memberi mesej yang jelas bahawa “khidmat kongsi sewa akan terus beroperasi di sini dan menawarkan landskap berdaya saing yang akan memperbaiki keadaan keseluruhan industri, dan sudah pasti memberi manfaat kepada pelanggan dan pemandu”.
Kebanyakan pemandu Uber tidak berpuas hati apabila syarikat itu bersetuju mematuhi peraturan berkenaan kerana mereka percaya tidak melakukan apa-apa yang menyalahi undang-undang.
Pengendali Uber di seluruh dunia turut meluahkan pendapat sama, dan telah menentang cubaan untuk mengisytiharkan perkhidmatan mereka menyalahi undang-undang atau untuk mengawal mereka.
Mereka berhujah syarikat itu beroperasi berdasarkan prinsip ‘pemandu bersetuju, penumpang bersetuju’.
Pensyarah kanan undang-undang sebuah kolej swasta, Daniel Abishegam, bersetuju dengan syarikat itu bahawa Uber beroperasi menggunakan kenderaan persendirian dan pemandunya tidak perlu memiliki lesen PSV.
“Uber, selaku penyedia khidmat kongsi sewa, tidak ada beza dengan pemandu yang memberi jirannya tumpang walaupun penumpang Uber perlu membayar tambang. Jadi pendapat saya, pemandu tidak memerlukan lesen komersial untuk beroperasi,” katanya.
“Jika anda mengawal selia undang-undang ke atas Uber, anda telah mengawal selia undang-undang ke atas pemilik kereta persendirian. Bagaimana anda mengawal selia undang-undang itu?,” soalnya. – Bernama