ASAJAYA: Seramai 120 murid yang kurang berkemampuan dari Kampung Tambirat menerima sumbangan beg sekolah yang diserahkan di Masjid Darul Rahmah Kampung Tambirat, dekat sini kelmarin.
Ia juga disumbangkan oleh Yayasan Bank Rakyat dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan Bank Negara Malaysia (BNM) Kuching menerusi Program Kembali ke Sekolah semalam.
Sehubungan itu, Ketua Pejabat BNM Kuching Mohd Irman Mohd Din berkata ia merupakan satu usaha untuk memberikan sokongan moral dan meningkatkan semangat anak-anak di kawasan tersebut untuk terus maju dalam pendidikan.
Katanya, ilmu pengetahuan dan pendidikan perlu dipandang serius lebih-lebih lagi ketika menghadapi dunia yang serba canggih kini.
“Justeru, hal pendidikan tidak boleh dipandang enteng kerana ia adalah tiket untuk anak-anak kita berjaya pada masa hadapan sekali gus dapat membantu mengubah nasib keluarga, komuniti dan bangsa.
“Sumbangan berupa beg sekolah itu juga adalah sebagai sokongan moral kita kepada anak-anak di kawasan ini dengan harapan akan memberikan tekad, iltizam, semangat dan motivasi untuk mereka melangkah ke sesi sekolah nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jangkauan Komuniti BNM Kuching dan Program Kembali ke Sekolah di Masjid Darul Rahmah Kampung Tambirat, dekat sini, kelmarin.
Sehubungan itu, beliau menambah mereka juga ingin melihat anak-anak dari Kampug Tambirat tersebut berjaya dengan adanya sokongan sedemikian.
“Kita berharap agar dengan adanya sumbangan dan program sebegini ia dapat memajukan Kampung Tambirat, seterusnya dapat menjadi kampung contoh untuk daerah ini atau bahagian Kuching,” ujarnya.
Sementara mengenai program tersebut semalam ia juga dihadiri oleh masyarakat setempat sekali gus menyaksikan dua sesi perkongsian oleh wakil BNM Kuching dengan tajuk “Waspada Ancaman Scam, Jangan Terjebak” dan “Kenali Wang Anda”.
Terdapat pelbagai aktiviti lain turut dianjurkan termasuk Pertandingan Mewarna anjuran Bank Rakyat Cawangan Samarahan yang telah dilaksanakan serentak di perkarangan masjid tersebut.
Hadir sama Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat Syaiful Rizal Abdul Ghani; Penghulu Kampung Tambirat Tamel Mohamad; Ketua Kaum Kampung Tambirat Zamzari Su’ut; Pengerusi Masjid Darul Rahmah Kampung Tambirat Saini Gapor; serta wakil yang lain.