Tunggu pengumuman 4 Januari

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Datuk Seri Fadillah Yusof

KUCHING: Kerajaan Persekutuan akan mengumumkan perkara berkaitan perkembangan Perjanjian Malaysia (MA63) melibatkan Sabah dan Sarawak pada 4 Januari nanti.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Kabinet mengadakan perbincangan menyeluruh pada tarikh tersebut.

Menurutnya, beliau sudah memanggil Jawatankuasa Teknikal MA63 di bawah Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Armizan Mohd Ali untuk meneliti dan memuktamadkan beberapa perkara yang dirancang semasa pemerintahan kerajaan terdahulu, terutama sekali mengenai perkara yang dipersetujui.

“Justeru, menerusi MA63 ini terdapat tiga perkara secara keseluruhan satu daripadanya telah diselesaikan iaitu penurunan kuasa kepada agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS).

“Satu lagi perkara yang kita bincangkan dan sudah mendapat keputusan dasar, satu masih dalam perbincangan dan belum mendapat keputusan dasar.

“Manakala, satu lagi perkara yang di luar bidang MA63 tetapi dipohon dan diminta oleh Sabah serta Sarawak. Ini adalah perkara yang sudah dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Penyerahan Biskut Krismas di Thompson Corner, Jalan Nanas, di sini, semalam.

Tambahnya, terdapat juga beberapa perkara berkaitan MA63 yang memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan akan mengambil masa untuk diselesaikan.

“Mengenai perkara itu, kita perlu menunggu sidang Parlimen untuk dibentangkan dan perlu mendapat keputusan Ahli Parlimen sebelum kita memuktamadkannya,” ujarnya.

Terdahulu, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya telah diberi tempoh sebulan untuk menyelesaikan semua perkara berbangkit berhubung MA63.

Dalam perkembangan lain, mengenai program tersebut semalam beliau telah hadir bersama-sama Adun Satok Datuk Ibrahim Baki untuk mengagihkan 150 biskut sempena sambutan Hari Krismas anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Satok.

Berkaitan