KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud meraikan sambutan ulang tahun kelahirannya ke-87 di Hotel Riverside di sini, Ahad.
Ketibaan beliau yang ditemani isterinya, Toh Puan Ragad Kurdi Taib disambut oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Antara yang hadir, tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Selain itu, bekas Timbalan Ketua Menteri ketika pentadbiran Tun Abdul Taib sebagai Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam dan Datuk Patinggi Dr Alfred Jabu Numpang turut hadir.
Dalam ucapan penghargaan, George Chan menyifatkan Tun Abdul Taib sebagai ‘arkitek Sarawak’ yang berjaya membawa perubahan kepada negeri Sarawak.
Transformasi yang dilaksanakan sekali gus mengubah landskap pembangunan negeri yang miskin kepada negeri berpendapatan tinggi.
“Sepanjang 60 tahun berkhidmat, termasuk 33 tahun sebagai ketua menteri, kita dapat menyaksikan pembangunan negeri Sarawak dalam menjana pendapatan serta menerima pelaburan.
“Selain itu, penekanan terhadap kepentingan pendidikan yang dilaksanakan oleh Tun Abdul Taib ternyata memberi manfaat kepada generasi muda dengan penubuhan dua universiti luar iaitu Curtin University dan Swinburne University,” katanya.
Ia membuktikan kepimpinan Tun Abdul Taib tidak hanya mengutamakan pembangunan fizikal semata-mata tetapi turut meletakkan pendidikan sebagai perkara penting khususnya kepada anak Sarawak.
“Tugas paling penting dan mustahil untuk dilakukan, beliau berjaya menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri yang bersatu padu, toleransi antara kaum kepada satu keluarga yang besar tanpa mengira perbezaan kaum dan agama,” katanya.
Sementara itu, Datuk Patinggi Dr Alfred Jabu Numpang berkata, Sarawak kini berada pada landasan tepat dalam menuju kejayaan yang dirancang untuk menjadi negeri maju menjelang 2030.
Malah kepimpinan Tun Abdul Taib dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berjaya melahirkan generasi pemimpin bijaksana dan berpengetahuan.
“Terima kasih Tun kerana memberi tunjuk ajar kepada kami dalam PBB, kami akan terus terus bersatu menjamin kestabilan, keharmonian dan ketenteraman untuk Sarawak Bumi Kenyalang yang tercinta.
“Dalam tempoh tujuh tahun lagi, ia (kejayaan) akan muncul dengan ilham Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan menjadi realiti berdasarkan asas yang diusahakan oleh Tun, terima akan panduan anda,” katanya.
Sambutan hari jadi itu turut menampilkan persembahan nyanyian daripada Persatuan Peminat P. Ramlee Sarawak, serta tarian selain acara memotong pulut kuning dan kek.