KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menjelaskan siswazah yang menjadi pemandu uber dan menjual nasi lemak sebenarnya tiada pilihan dan mereka melakukannya demi menyara kehidupan selepas tamat pengajian.
Bekas Perdana Menteri itu memperjelaskan dakwaan beliau menghina siswazah yang menjadi pemandu Uber dan penjual nasi lemak apabila dikatakan menyifatkan tiada yang dapat dibanggakan terhadap golongan terbabit.
“Sesiapa yang memang memilih untuk menjadi pemandu Uber, saya ucapkan tahniahlah,” katanya menerusi penjelasan yang dikongsi menerusi siaran langsung Facebook, hari ini.
“Tetapi bagi mereka yang tiada pilihan, mereka harus memandu Uber dan menjual nasi lemak kerana dasar ekonomi yang menghimpit masa depan graduan negara ini,” katanya.
Pengerusi Bersatu berkata dua kerja itu menunjukkan mereka tidak cukup pendapatan dan bukan kerana berkembangnya semangat keusahawanan.
Bercakap di sesi soal jawab bervideo di Facebook Rabu lalu, Dr Mahathir berkata ia menunjukkan kerajaan gagal menyediakan peluang kerja yang sepadan.
Katanya, mereka mempunyai kemahiran tinggi tetapi tiada peluang pekerjaan sesuai.
“Jika kita mahu menjual nasi lemak, kita patut ada universiti yang mengajar bagaimana menjual nasi lemak, tetapi kita tiada universiti itu,” katanya.
“Ia memalukan negara apabila graduan menjual nasi lemak. Ia menunjukkan kerajaan gagal menyesuaikan kemahiran dengan peluang kerja.”
“Masuk universiti dan ambil jurusan kejuruteraan dan sebagainya, kemudian keluar daripada universiti, jual nasi lemak.
“Terpulanglah jika rasa ia cara yang betul, sepatutnya mereka ini keluar daripada universiti dan gunakan ilmu yang didapati daripada pusat pengajian ke jalan yang betul,” tegasnya.
Komen Dr Mahathir itu dikritik pelbagai pemimpin kerajaan. — Sarawakvoice