KUALA LUMPUR: Rabu lalu bukan pertama kali Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesediaannya bersumpah menggunakan al-Quran bagi membuktikan beliau tidak terbabit dalam pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas pada 1988.
Sebaliknya, bekas Perdana Menteri yang memerintah dari 1981 hingga 2003 itu dalam memoirnya yang diterbitkan pada 2012 menyatakan kesediaannya untuk bersumpah.
Pengerusi Pakatan Harapan itu menuding jari ke arah Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Abu Talib Othman yang menggunakan namanya untuk melindungi Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-8, Sultan Iskandar Sultan Ismail atas pemecatan itu.
“Peristiwa pemecatan Tun Salleh bukan kerana saya. Malangnya untuk selamatkan nama YDPA. Peguam negara pada masa itu guna nama saya, konon saya suruh,” katanya.
Dalam memoir itu, Tun Mahathir berkata, ketika menulis memoir itu, beliau pernah memanggil Abu Talip, bertanya di mana surat pertama yang Tun Salleh tulis.
Kata Tun Mahathir, beliau diberitahu bahawa surat itu ada di dalam simpanan kerajaan.
“Saya tidak cuba untuk mendapatkan surat itu, tetapi bersedia untuk bersumpah dengan al-Quran bahawa surat itu dan titah Yang di-Pertuan Agong adalah punca kepada tindakan pemecatan Tun Salleh,” tulisnya.
Pada 8 Ogos 1988, Tun Salleh didapati bersalah atas tuduhan salah laku sebagai Ketua Hakim Negara dan berikutan perakuan tribunal kepada YDPA, beliau dipecat secara rasmi.
“Sesetengah pembaca yang curiga telah bertanya, mengapa sebagai seorang Perdana Menteri yang dipilih rakyat, saya sanggup memecat Ketua Hakim Negara — penjawat tertinggi Kehakiman negara semata-mata atas kehendak Yang di-Pertuan Agong dan tuntutan peribadi Baginda,” tulisnya lagi dalam memoir itu.
“Lagipun selama ini saya bersikap tegas terhadap Raja-raja Melayu dan mengambil tindakan yang tidak mereka gemari. Bahkan, saya pernah bertelagah secara terbuka dengan Baginda Raja-raja. Jadi saya boleh menolak bulat-bulat perintah Yang di-Pertuan Agong itu, kalau saya mahu,” tulisnya.
“Saya tidak mahu ingkar,” tegas Tun Mahathir.
“Kepada semua rakyat moden Malaysia, hakikat bahawa seorang Perdana Menteri tunduk kepada tuntutan Yang di-Pertuan Agong dengan cara sedemikian bukan sahaja tidak baik, tetapi juga terkutuk,” katanya, sambil menegaskan, itulah hakikat sebenar mengenai apa yang terjadi. — Sarawakvoice
