Toyo Tyre yakin dengan prospek 2023, lancar tayar Proxes Sport 2 baharu

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Sumber: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Toyo Tyre Sales and Marketing Malaysia Sdn Bhd melihat prospek yang positif untuk tahun 2023 berikutan pelancaran tayar inovatif Proxes Sport 2 baharu syarikat yang bakal memenuhi keperluan pelbagai peminat pemanduan selain memastikan prestasi, keselamatan dan ketahanan yang luar biasa.

Presiden dan Pengarah Urusan Tan Song Chye berkata Toyo Tyre telah meletakkan dirinya sebagai jenama yang dipercayai dalam industri dengan kehadiran pasaran yang kukuh dan reputasi untuk menghasilkan tayar berkualiti tinggi serta menggunakan pendekatan penjenamaan yang tepat.

“Proxes Sport 2 dioptimumkan untuk rangkaian kuasa kilasan (torque) tinggi untuk memberikan pemanduan yang mengujakan bagi semua pemandu sukan.

“Dengan komitmen kami terhadap inovasi dan kecemerlangan, kami yakin siri tayar ini akan segera menjadi pilihan utama bagi pemandu yang mencari tayar berprestasi tinggi,” katanya kepada Bernama.

Tan berkata sasaran awal syarikat untuk jualan tayar Proxes Sport 2 ialah sebanyak 10,000 pada tahun pertama.

“Unjuran jualan mungkin meningkat bergantung kepada sambutan dan permintaan,” katanya.

Tayar Proxes Sport 2 boleh didapati dalam 31 saiz berbeza untuk pelbagai kenderaan, daripada kenderaan segmen C, termasuk segmen eksekutif kompak sehinggalah kelas segmen F.

Pelanggan Malaysia boleh membeli Proxes Sport 2 di mana-mana Pusat Toyo, dengan harga antara RM700 hingga RM1,300 setiap tayar, bergantung kepada saiz.

Tan berkata memandangkan pasaran automotif Malaysia terus berkembang, Toyo Tyre kekal komited untuk menyampaikan produk inovatif dan berkualiti tinggi bagi  memenuhi keperluan pengguna yang pelbagai.

“Dedikasi terhadap kecemerlangan ini terbukti dalam pelancaran Proxes Sport 2 dan OPA/T 3, menawarkan pengalaman pemanduan yang tiada tandingan kepada pemandu,” tambahnya.

Toyo Tyre Sales and Marketing Malaysia Sdn Bhd ialah anak syarikat Toyo Tire Corporation Jepun. – BERNAMA

Berkaitan