Tommy perguna ilmu rejim latihan Ong Kim Swee

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Peningkatan mendadak persembahan Tommy Mawat Bada sekembali dari latihan Skuad Sukan Sea negara, benar-benar melegakan David Usop.

Menurutnya, Tommy melakarkan gaya permainan matang apabila beraksi menentang Kelantan dan JDT pada minggu lalu, sekali gus melontar keyakinan kepada pengendali Ngap Sayot itu bahawa beliau mempunyai potensi yang besar selepas ini.

Meski dihambur pujian, anak muda ini tidak mudah meninggi diri.

“Ya, memang banyak perkara baharu yang positif, yang saya timba daripada rejim latihan Datuk Ong Kim Swee.

“Dan ilmu baharu itu saya harap dapat digarap untuk membantu pasukan ini (Sarawak),” katanya.

Tommy berkata, persembahannya dalam dua aksi terakhir sebenarnya didorong oleh semangat berpasukan yang tinggi.

“Persefahaman dan kerjasama yang menjadikan kami menjadi, terutamanya ketika aksi meletihkan menentang Kelantan.

“Semua pemain dapat mengikut arahan dan melaksanakan peranan masing-masing,” katanya.

Mengenai dua pemain import baharu, Sahil Suhaimi dan Milos Raickovic, Tommy berkata, kedua-duanya semakin menyerlahkan keserasian.

“Mereka semakin menyerap corak permainan kami, dan saya berharap ia akan membantu dalam menghadapi persembahan akan datang,” jelasnya.

Sarawak akan beraksi menentang The Red Giant malam ini, dan Tommy berharap rakan-rakan sepasukannya dapat memberikan saingan sengit.

“Kita tahu Selangor agak kuat, tetapi saya berharap kita akan dapat menggunakan kelebihan di tempat sendiri untuk memberikan saingan.

“Saya juga berharap keserasian ketika menang 2-0 di Kelantan diulangi.

“Ia juga bergantung kepada taktikal jurulatih dan kami perlu bersedia dari segi mental dan kecergasan,” jelasnya lagi. – Sarawakvoice

Berkaitan