KUALA LUMPUR: Penggunaan elektrik kemungkinan meningkat disebabkan cuaca panas yang dihadapi ketika ini iaitu semasa pengguna menyambut Aidilfitri.
Justeru, Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui kenyataan berkongsi beberapa tip penjimatan penggunaan elektrik, antara langkahnya menerusi ruang tamu, luar rumah, bilik tidur, dapur dan bilik mandi.
Saranan TNB itu merujuk kepada amaran Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) di beberapa kawasan dengan cuaca berkenaan boleh mencecah di antara 35 hingga 37 darjah Celsius.
Jelas TNB lagi, antara amalan penjimatan elektrik yang mudah dilakukan di ruang tamu dan luar rumah adalah mematikan penyaman udara, kipas serta lampu di dalam bilik yang kosong. Selain itu, mematikan suis peralatan elektrik seperti komputer selepas selesai menggunakannya.
“Di bilik tidur, hidupkan kipas bagi membantu pengedaran udara di dalam bilik pada waktu malam dan tetapkan masa untuk pendingin hawa dimatikan bagi menjimatkan penggunaan elektrik selain kerap diselenggara.
“Di bahagian dapur, elakkan meletak petis sejuk di tempat yang panas seperti tempat terdedah kepada pancaran terus cahaya matahari atau berhampiran dengan dapur memasak dan susunkan barang di dalam peti sejuk sekurang-kurangnya dua per tiga kapasiti ruangan bagi membiarkan pengudaraan udara sejuk.
“Elakkan juga suis alat pemanas air di dalam bilik mandi terbuka tanpa digunakan. Selain itu, mandi air sejuk tanpa menggunakan pemanas air bagi membantu badan terasa lebih segar,” katanya lagi.
“Layari www.mytnb.com.my/energy-efficiency/home-energy-savings-tips/tips-tricks untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai langkah penjimatan elektrik dengan bijak,” katanya.