Timba pengalaman dalam industri

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pusat Inkubator Kandungan Kreatif Borneo (BCCIC), kelmarin.

Naib Canselor Unimas Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, bagi pihak universiti dan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) mereka melihat industri tersebut sememangnya perlu diberikan tumpuan.

“Menerusi MoU yang termeterai 19 April Unimas akan dapat menjalinkan kerjasama yang lebih besar dengan industri termasuk BCCIC.

“Unimas sangat menekankan tentang kemudahan teknologi, justeru dengan kerjasama ini ia akan membuka peluang kepada FSGK menimba pengalaman dalam industri mengikut laluan yang disediakan oleh BCCIC,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Menendatangani MoU antara Unimas dengan BCCIC di Rumah Universiti, Unimas dekat sini kelmarin.

Sehubungan itu, beliau berharap agar kerjasama strategik antara kedua-dua pihak tersebut juga akan membuahkan hasil dan memberikan manfaat kepada semua pihak.

“Ia penting dalam usaha kita untuk menghasilkan bakat dan kandungan yang sesuai terutama sekali untuk Unimas dan negeri ini,” ujarnya.

Dalam hal berkaitan, kerjasama ini akan mewujudkan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak berkenaan, BCCIC akan menyediakan program pembangunan bakat, bimbingan dan latihan manakala Unimas menyediakan peserta dalam kalangan pelajar dan alumninya untuk penghasilan kandungan kreatif.

Selain itu, impak positif jangka pendek dan panjang daripada kerjasama ini dilihat sejajar dengan hasrat Unimas dalam melahirkan graduan yang cemerlang dalam bidang akademik serta bakat untuk mendepani cabaran dan permintaan industri di era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Kerjasama ini juga seiring dengan usaha Kerajaan Sarawak terutamanya di bawah Kementerian Pelancongan, Industri Kreaftif dan Seni Persembahan untuk mengetengahkan karya-karya berkualiti dan kandungan kreatif yang memaparkan Borneo dan Sarawak, hasil daripada bakat-bakat anak tempatan.

Pada masa yang sama, kewujudan pusat inkubator ini juga dilihat sebagai platform yang tepat yang bakal memberi manfaat besar kepada pelajar dan graduan serta alumni daripada FSGK dan Unimas secara keseluruhannya. Hadir sama Penyelaras Program BCCIC Azmira Azna Kamarulzaman, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Profesor Dr Ahmad Hata Rasit, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Profesor Dr Kamaruddin Kana, Dekan FSGK Profesor Madya Dr Musdi Shanat serta wakil yang lain.

Berkaitan