KUCHING: Harga tiket masuk bagi menyaksikan perlawanan persahabatan antara Kuching City FC (KC FC) dan Sri Pahang FC di Stadium Negeri, Petra Jaya untuk dua hari (12 & 13 Februari) ditetapkan RM10.
Ketua Pegawai Eksekutif, Kuching City, Iswandy Ali Hassan memberitahu, tiket dengan harga tersebut bagi semua tempat duduk.
Dengan kata lain jelas Iswandy, peminat yang hadir ke stadium bebas untuk duduk sama ada dikawasan terbuka dan berbumbung.

“Harga tiket RM10 kita tetapkan untuk kemasukan setiap peminat yang ingin menyaksikan kedua-dua perlawanan terbabit.
“Tiket boleh dibeli di kaunter jualan di Stadium Negeri, Petra Jaya dan untuk perlawanan pertama malam esok jualan bermula pukul 3:00 petang,” ujar Iswandy kepada Arena Suara Sarawak.
Manakala, jualan tiket untuk perlawanan kedua bermula pukul 1:00 petang.
Sepak mula aksi persahabatan pertama Kuching City FC dan Sri Pahang FC malam esok pukul 7:30 malam.
Disusuli perlawanan kedua pada hari Isnin dengan sepak mula pukul 4:15 petang.