KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak berkata atas keazaman kuat untuk merampas balik kerusi Parlimen Lembah Pantai, maka beliau memilih calon paling layak untuk menumbangkan calon pembangkang dalam pilihan raya umum ke-14.
Najib menegaskan tidak ada calon yang lebih layak daripada Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang diharap dapat menebus kembali kekalahannnya dalam pilihan raya lalu.
“Bila saya belek-belek, saya lihat di kawasan Lembah Pantai ini, tidak ada orang yang lebih layak daripada Raja Nong Chik,” katanya.
Najib berkata demikian ketika berucap di dalam Program Gotong-royong dan Santai Bersama Datuk Seri Najib Tun Razak di Taman Pantai Indah Fasa 2, Lembah Pantai pada Ahad.
“Sebab itu saya pilih beliau berdasarkan merit. Bukan kerana beliau Ketua Bahagian, sebab ada juga ketua bahagian yang tidak jadi calon,” katanya lagi.
“Ukuran saya dalam memilih calon di sini ialah siapa yang boleh menguruskan kawasan Lembah Pantai ini dengan lebih baik lagi supaya kehidupan masyarakat di sini bertambah selesa dan bermakna di bawah pentadbiran BN,” jelas Perdana Menteri.
Beliau turut menyeru agar pengundi di kawasan Lembah Pantai memberikan sokongan kepada Raja Nong Chik, kerana beliau merupakan mangsa fitnah pembangkang sehingga menyebabkan beliau tewas dalam dua pilihanraya sebelum ini,” katanya.
“Raja Nong Chik telah menjadi fitnah pada pilihan raya yang dulu,” katanya.
Oleh itu, ujar Najib, menjadi tanggungjawab pengundi di kawasan parlimen Lembah Pantai untuk membetulkan semula keadaan ini dengan memberikan kemenangan kepada beliau sebagai calon kepada BN di sini.
Nong Chik tewas kepada Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar.
Pada PRU kali ini, Nurul Izzah pindah ke kubu kuat keluarganya,kerusi Parlimen Permatang Pauh.
Bercakap kepada media 22 April lalu, Nong Chik mengakui beliau tidak pernah berputus asa untuk menawan hati pengundi kawasan itu walaupun tewas pada PRU-13.
Kata Nong Chik, jiwanya sudah sebati dengan Lembah Pantai kerana dibesarkan di kawasan itu.
“Walaupun tewas pada pilihan raya lalu, saya tetap turun padang memberi khidmat yang diperlukan rakyat. Saya bekerja keras buat kerja selama lima tahun dan dibuktikan dengan rekod pencapaian yang dilaksanakan kerajaan BN selama ini,” beliau dipetik berkata. –Sarawakvoice