KUCHING: “Pastikan aksi bertemu Kuantan FA pada 2 Februari depan satu-satunya perlawanan Liga Perdana di Sarawak yang dianjurkan pada sebelah petang.
“Saya mahu lihat aksi kedua, ketiga dan seterusnya berlangsung pada sebelah malam.
“Saya sendiri lebih berminat untuk menyaksikan aksi ini pada malam hari,” kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Ia susulan aksi Sarawak bertemu Kuantan FA yang dijadualkan pada Jumaat depan, 2 Februari jam 4.15 petang di Stadium Negeri.
Tindakan itu terpaksa dilakukan berikutan masalah lampu limpah stadium yang gagal memenuhi spesifikasi pencahayaan yang ditetapkan.
“Saya baharu dimaklumkan tentang perkara ini sekejap tadi.
“Dan saya akan minta Perbadanan Stadium Sarawak agar segera mengambil tindakan.
Tegasnya, apabila beraksi pada sebelah petang, risikonya adalah kekurangan penonton.
“Ia adalah waktu bekerja, dan sukar untuk peminat hadir tepat pada masanya,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru penyokong untuk hadir beramai-ramai memberi sokongan kepada pasukan baharu Ngap Sayot itu.
“Kita perlu menang pada aksi pertama ini agar ia mampu memacu moral pemain untuk aksi-aksi seterusnya.
“Kita mahu kembali ke Liga Super pada musim depan,” tegasnya lagi. — Sarawakvoice