Tiada jurang antara rakyat dan majlis

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
SEDIA BANTU… Loo Khere Chiang (kanan) bersedia membantu Tan Kai. Photo Aliff Noni.

PADAWAN: Tiada jurang antara majlis dan rakyat menjadi visi utama pengerusi baharu Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Kaunselor Tan Kai setelah menjawat jawatan tersebut semalam.

Beliau yang mengetuai 31 ahli yang lain mengangkat sumpah sebagai ahli majlis MPP berkata, ia bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Visi kedua ialah menaik taraf tempat pelancongan untuk menjadikan MPP sebagai destinasi paling menarik di Sarawak.

“Ketiga ialah menambah baik infrastruktur bagi menjadikan Padawan sebagai kawasan yang kondusif kepada penduduk dan perniagaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Ahli MPP di Dewan MPP di sini, semalam.

Majlis angkat sumpah tersebut disaksikan oleh Timbalan Premier merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Mengulas lanjut, Tan Kai merangkap Setiausaha Politik Premier Sarawak menambah, visi seterusnya ialah menyediakan perkhidmatan mesra perniagaan yang penting untuk kemakmuran perniagaan.

“Akhir sekali adalah mengawasi alam semula jadi dan melindungi alam sekitar. Visi ini selaras inisiatif Kerajaan Sarawak dalam Pelan Pembangunan Pasca Covid 2030 (PCDS2030) serta memenuhi Pelan Pembangunan ‘Greater Kuching’,” ujarnya.

Dalam pada itu Tan Kai berkata sudah tentu akan ada cabaran baru untuk beliau selain daripada perkhidmatan konvensional seperti kutipan sampah, pemotongan rumput, pembersihan saliran, tampalan berlubang, penyelenggaraan pasar dan taman rekreasi.

“Antara cabaran baharu itu adalah kesesakan lalu lintas dan banjir kilat akibat urbanisasi dan perubahan iklim.

“Ini adalah masalah yang bukan sahaja terlalu besar untuk dikendalikan sendiri oleh majlis tetapi juga di luar kuasa dan keupayaan majlis.

“Bagaimanapun, MPP mesti berani menyahut cabaran dan menangani masalah sambil bekerjasama rapat dengan agensi lain yang berkaitan,” katanya.

Turut mengangkat sumpah sebagai timbalan pengerusi MPP ialah Abang Ismawi Abang Ali, mengambil alih jawatan Senator Datuk Ahmad Ibrahim. Sementara 19 daripada ahli majlis adalah pelantikan baharu manakala 12 dikekalkan.

Berkaitan