Teruja jadi penyampai radio

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
MAZLAN dan Leez Zwita. Foto GHAZALI BUJANG

KUCHING: Kredibiliti dan populariti pengacara dan pelawak tempatan, Lan Perey selama lebih empat tahun dalam industri seni di Sarawak tidak boleh disangkal lagi setelah dia terus mendapat pengiktirafan orang ramai.

Malah Lan Perey atau nama sebenarnya Mazlan Rosli, 37, kini menggalas satu lagi tanggungjawab dalam cabang seninya apabila bergelar penyampai radio di stesen radio KUPIKUPI FM Sarawak.

Menggunakan nama pentas Abang Lan sebagai penyampai radio, dia yang turut fasih berbahasa Iban dan Hokkein berkata, rancangan radio tersebut akan bersiaran di frekuensi 92.5FM dan pendengar akan mendengar celotehnya dalam segmen Jungo Krem setiap Isnin hingga Jumaat.

Segmen tersebut akan bermula jam 8.00 malam hingga 12.00 tengah malam.

Pelbagai perkara menarik dikongsikan dengan pendengar yang memfokuskan kehendak komuniti di Sarawak.

Semua topik yang dibawakan secara berlainan melibatkan perkara-perkara berkaitan orang kita termasuk muzik tempatan dalam pelbagai bahasa selain menerapkan unsur komedi. 

’Disebabkan itu ia diberi nama sebagai Jungo Krem untuk menghiburkan pendengar,’’ katanya ketika ditemui Suara Sarawak di iCom Square di sini, semalam.

Pada masa sama Lan berkata, KUPIKUPI FM Sarawak bertujuan mempromosikan kepelbagaian budaya, makanan, pakaian, acara dan sebagainya yang menjadi kebanggaan anak watan selain mengangkat keunikan di Bumi Kenyalang yang kaya dengan pelbagai bahasa.

‘’Misalnya dalam satu segmen iaitu Kitak Nang Steady, kami akan bawa anak-anak Sarawak yang melakukan pekerjaan memberi inspirasi kepada orang lain dengan niat untuk membantu mereka seperti usahawan kecil dan lain-lain, sekali gus sebagai pengiktirafan kepada mereka.

“Antara pecahan segmen lain adalah Jaku Kita untuk mempelajari macam-macam bahasa Sarawak yang kita tidak pernah dengar seperti belinyuk yang bermaksud berminyak dan segmen San Muyan,” ujarnya.

Selain Lan, artis terkenal Iban Leez Zwita juga antara enam penyampai radio KUPIKUPI FM selain Ezmir Sadriq, Jalee, Wena dan Maria yang akan menghiburkan pendengar setiap hari.

Mengakui teruja dilamar menjadi penyampai radio, Leez berkata, dia sudah lama menantikan tawaran berkhidmat sebagai penyampai radio dan sangat gembira kerana dapat melebarkan sayap dalam bidang pengacaraan.

“Saya teruja dipilih menjadi sebahagian warga kerja KUPIKUPI FM.

Ini kerana saya ingin mencuba sesuatu yang baharu dalam kerjaya, selain mencabar diri mengetengahkan bakat yang ada.

“Sejujurnya, kerjaya sebagai penyampai radio sangat mencabar, tetapi saya ambil peluang ini mendalami ilmu penyiaran radio.

“Bidang penyiaran radio adalah platform terbaik mengasah bakat menjadi artis lebih versatil. ‘’Bidang nyanyian tetap menjadi keutamaan buat saya.

Tetapi, saya kena fokus kepada bidang penyiaran radio buat masa ini memandangkan masih baru dan banyak ilmu perlu ditimba.

“Cuma, saya harus bijak membahagikan masa supaya jadual bersama KUPIKUPI FM, nyanyian dan masa bersamasama keluarga dapat dibahagikan sebaik-baiknya. 

‘’Terima kasih kepada KUPIKUPI FM kerana memberikan kepercayaan kepada saya,’’ katanya yang akan bersiaran dalam segmen Kupi Jem setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 4.00 petang hingga 8.00 malam.

Pendengar akan bersama Leez dalam pecahan segmen Leezy Beats; B’Randau Lemai dan Sudu Cherpu.

Berkaitan