Tapau Pengiran Bala tidak menjadi malam tadi

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Tumpas 1-0 kepada PKNS FC, dalam aksi yang sebenarnya “boleh tapau” nyata mengecewakan pengendali Sarawak, Pengiran Bala malam tadi.

Pengiran yang memangku tugas David Usop yang sedang mencari “udara segar”, bagai hilang selera melihat anak-anak buahnya bagai hilang tenaga dan idea.

“Saya tidak puas hati dan kecewa. Mereka bermain jauh di bawah ‘par’.

“Saya menjangkakan kemenangan malam ini. Tetapi 45 minit pertama disia-siakan dengan pergerakan yang begitu perlahan berbanding lawan, serta tanpa aksi agresif dan cubaan yang boleh dipuji,” katanya.

Menurutnya, ketika di bilik persalinan, beliau menuntut komitmen yang jitu.

“Saya desak mereka mencari ruang, dan cipta peluang. Selepas itu ada sedikit peningkatan tetapi tidak cukup untuk mengekalkan momentum,” katanya lagi.

Ujar Pengiran, sebelum aksi bermula, beliau menjangkakan tiga mata penuh akan diraih, kerana bersandarkan prestasi yang menyakinkan ketika menentang JDT dan Terengganu, sebelum itu.

“Tetapi apabila wisel sepak mula dibunyikan, para pemain bagai hilang arah. Semua strategi tidak menjadi.

“Lebih mengecewakan, para pemain gagal memberi reaksi pantas terhadap pergerakan lawan.”

“Dan ini menjadi punca lawan meledakkan gol pada minit ke-68 menerusi Mohd Alif Haikal.

Ditanya kenapa tidak menurunkan Abdul Rahim Abdul Razak lebih awal bagi “menghidupkan” bahagian sayap, Pengiran memberi alasan terpaksa menyimpan pemain tinggi lampai itu setelah pemain pertahanan Mazwandi Zekeria mengalami kejang otot, manakala Tommy Mawat Bada juga menunjukkan isyarat yang serupa.

Tekanan katanya, juga amat dirasai di bahagian benteng berikutan ketiadaan Demerson Bruno Costa dan Ronny Harun.

“Biarpun ada Hairol Mokhtar tetapi kubu menjadi lemah apabila tidak ada pasangan yang serasi.

Keadaan menjadi semakin sukar apabila jentera tengah yang diterajui Mohamad Alif Hassan dan Mohd Sahil Suhaimi sentiasa gagal dalam saingan bola.

Mengenai pertembungan dengan Melaka United pada Rabu depan, Pengiran berkata, beliau akan berbincang dengan fisioterapi pasukan untuk melihat baki pemain yang ada.

“Saya tidak menolak kemungkinan untuk menyerapkan pemain Piala Presiden jika perlu, kerana ketika begitu banyak pemain yang cedera dan gagal pulih berikutan jadual perlawanan yang ketat,” tambahnya. – Sarawakvoice

Berkaitan