KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melihat terdapat keperluan menjalankan proses pemutihan tapak perkhemahan di seluruh negara susulan insiden meragut nyawa yang berlaku di Batang Kali, Selangor akhir tahun lepas.

Timbalan menterinya, Akmal Nasrullah Nasir berkata, ia bagi memastikan tapak perkhemahan sedia ada memenuhi syarat pengoperasian seperti digariskan dalam Draf Garis Panduan Perancangan (GPP) Tapak Perkhemahan yang akan dimuktamadkan akhir bulan depan.
“Untuk maklumat, kerajaan Selangor sebenarnya laksana pemutihan tapak perkhemahan ini terhadap pengusaha yang beroperasi sebelum 15 Mac.
“Mereka yang dah beroperasi sekarang ini perlu daftar dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan permit bangunan sementara untuk menjalankan operasi, tetapi kita perlu beri tempoh dan dalam kes di Selangor, mereka diberi ruang selama dua tahun untuk memenuhi syarat ditetapkan dalam garis panduan itu,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat seperti dilapor Bernama.
Beliau menjawab soalan tambahan Gobind Singh Deo (PH-Damansara) mengenai tindakan kementerian terhadap pengusaha tapak perkhemahan sedia ada bagi memastikan mereka memenuhi garis panduan bakal dimuktamadkan.
Justeru, Akmal Nasrullah berharap kerajaan negeri lain dapat menjalankan proses pemutihan sama bagi memastikan tapak perkhemahan disediakan selamat digunakan.
Menjawab soalan asal Gobind berhubung GPP Tapak Perkhemahan, beliau berkata, ia memfokuskan aktiviti perkhemahan jenis asas, iaitu perkhemahan menggunakan khemah yang didirikan di kawasan semula jadi dengan kemudahan asas minimum serta kelengkapan, peralatan dan makanan perlu dibawa peserta sendiri.
Katanya, antara aspek penting berkaitan perancangan dan kawalan kesesuaian tapak perkemahan yang digariskan adalah keselamatan tapak dengan menentukan jarak sesuai dari kawasan larangan dan sensitif alam sekitar, keadaan topografi dan tahap kecerunan sesuai, serta struktur kekuatan tanah.
“Diharapkan dengan adanya garis panduan yang disediakan nanti, aspek berkaitan keselamatan, keselesaan dan pemuliharaan alam semula jadi akan dapat diberi perhatian dalam perancangani tapak perkhemahan supaya tragedi Batang Kali dapat dielakkan. – BERNAMA