KUALA LUMPUR: Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Wahid Omar mencuba satu tugas baharu — sebagai pemandu kereta Uber.
Uber Malaysia kini terdapat di ibu kota Kuala Lumpur, Johor Baharu, Pulau Pinang, Ipoh dan Kota Kinabalu.
Wahid yang mendaftar sebagai pemandu Uber pada Khamis kelihatannya sengaja mencuba bagaimana pengalaman pemandu Uber, selain mahu merasai denyut nadi orang ramai, dan memahami pemikiran mereka.
Namun, difahamkan motif utama di sebalik usaha itu adalah juga untuk mempromosikan kereta eksekutif Proton Perdana yang baharu dan mengutip dana untuk tujuan kebajikan.
Lapan orang penumpang telah menaiki kereta yang dipandunya dari pukul 8 pagi hingga 4 petang Jumaat, dan diteruskan lagi sejak 8 pagi Sabtu.
Uber meletakkan syarat yang ketat, dengan hanya kereta yang berusia tidak lebih daripada lapan tahun boleh dipakai untuk perkhidmatan tersebut.
Pemandu juga perlu bersih daripada sebarang rekod jenayah.
Jika seseorang tiada kereta, pemandu Uber boleh menggunakan kereta ahli keluarga asalkan insurans mempunyai nama pemandunya.
Firdaus, seorang daripada penumpang yang sempat menaiki kereta dipandunya memberi taraf cemerlang kepada perkhidmatan yang diberikan oleh Wahid.
Firdaus mengambil selfie mereka berdua dengan Wahid kelihatan tersenyum lebar — mungkin puas dengan pengalaman baharu yang diharunginya.
Tempoh Wahid sebagai Senator berakhir pada 4 Jun lalu, sekali gus tamatlah juga perkhidmatan beliau sebagai Menteri.
Wahid melakar nama dalam industri perbankan, dan muncul sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maybank, sebelum menjadi Senator dan ditawarkan jawatan sebagai Menteri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. – Sarawakvoice.com