Tambah stok darah

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
BADUYAH Bujang serta wakil yang lain merakam gambar kenangan bersama-sama.

KOTA SAMARAHAN: Program Derma Darah Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (Maksak) Sarawak 2023 mendapat sambutan yang amat menggalakkan dalam kalangan masyarakat dekat sini. Setiausaha Maksak Bahagian Samarahan Welson Malian berkata, sebanyak 30 pendaftaran untuk menderma darah diterima setakat jam 10 pagi semalam.

“Kita sangat gembira melihat sambutan yang baik dan amat menggalakkan dalam kalangan masyarakat di sini. “Menerusi program ini juga kita menyasarkan untuk mendapatkan sebanyak 70 pain darah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian Program Derma Darah Maksak Sarawak 2023 di sini, semalam.

Program yang disempurna- kan oleh Pengerusi Maksak Wanita Sarawak Datin Amar Baduyah Bujang tersebut merupakan projek Jelajah Kebajikan yang bertemakan ‘Setitik Darah Sejuta Harapan Maksak Sarawak’ di lokasi yang terpilih bermula pada 2022.

Ia dianjurkan di Bahagian Samarahan juga adalah bersempena dengan Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka. Welson menambah, ia turut dianjurkan dengan kerjasama Maksak Bahagian Samarahan dan juga bertujuan untuk meningkatkan stok bekalan darah di Hospital Umum Sarawak (HUS). “Kita juga ingin menggalakkan lebih ramai masyarakat menderma darah sekali gus membantu orang lain khususnya para pesakit yang memerlukan.

“Jadi saya juga menyeru agar lebih ramai masyarakat tampil untuk menderma darah dan berharap agar program yang baik sebegini dianjurkan lagi pada masa yang akan datang,” ujarnya. Program Derma Darah Maksak Sarawak 2023 juga memberi peluang kepada Ahli Exco Maksak Wanita Sarawak untuk turun padang dan bertemu dengan penjawat awam wanita di bahagian lain.

Selain itu, menyebar kebaikan dan manfaat menderma darah terutama sekali dalam kalangan penjawat awam Sarawak. Dalam hal berkaitan, Program Sumbangan Ikhlas Maksak Wanita di Ambang Ramadan anjuran Biro Kebajikan dan Biro Sosial Exco Maksak Wanita Sarawak turut berlangsung Klinik Kesihatan Kota Samarahan semalam.

Ia merupakan program yang julung kali diadakan dalam usaha untuk mempelbagaikan aktiviti kebajikan tahunan yang dipertanggungjawabkan kepada Exco Maksak Wanita Sarawak. Menerusi program tersebut, Maksak Wanita Sarawak turut menyumbangkan RM10,000 kepada Klinik Kesihatan Kota Samarahan.

Berkaitan