SARAWAK terus menyambut Hari Kebangsaan pada peringkat negeri bersempena 31 Ogos.
Kali ini, Hari Kebangsaan yang juga merujuk kepada Hari Merdeka Malaysia diraikan di hotel di Miri.
Majlis ini turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, menteri, ketua jabatan kerajaan, ketua kaum serta hadirin.
Jika kita sedar, Sarawak sangat setia dan berbangga menyambut 31 Ogos tanpa gagal meraikannya setiap tahun walaupun Hari Sarawak turut disambut lebih awal 22 Julai sejak beberapa tahun mutakhir.
Sebagai sebuah negeri kebersamaan dalam sebuah negara adalah satu pengorbanan dan kemestian yang tidak perlu didolak-dalikkan oleh sesiapa pun.
Bahkan, sebuah Amerika Syarikat yang besar mengandungi 52 negeri di dalamnya patuh kepada sambutan hari kemerdekaan 4 Julai yang diadakan setiap tahun.
Justeru, hal ini sepatutnya tidak wajar dijadikan isu lagi bagi negeri-negeri yang berada dalam sebuah negara Malaysia yang matang. Ya sudah 55 tahun bagi Sarawak dan 61 tahun bagi negeri lain di Malaysia… sudah cukup dewasa dan matang.
Mari kita amati ucapan Abang Johari pada majlis sambutan tersebut.
Abang Johari berkata sewajarnya keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan negeri ini membantu menyemarakkan lagi taat setia warga Sarawak kepada Malaysia.
Justeru, Kerajaan Persekutuan ditagih terus memberi perhatian serius ke atas pembangunan khususnya pembangunan prasarana serta menyelesaikan isu sekolah daif di seluruh negeri ini.
Terbukti, sesiapa pun yang memerintah di Putrajaya, Kerajaan Negeri tetap berjalan “setia” dan sentiasa “Sayangi akan Malaysiaku” tanpa rasa berbelah bahagi.
Isu politik dan jenama parti politik adalah satu hal, akan tetapi jiwa rakyat yang menghuni di dalamnya tidak perlu dicop atau dicap dengan jenama ini kerana keperluan bagi setiap rakyat berkehendak pada perkara asas yang sama; keamanan, keselesaan prasarana, makanan, pakaian dan jaminan keharmonian berterusan.
Dalam perutusan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-61 Peringkat Sarawak dan 55 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia, Abang Johari berkata, Kerajaan Negeri terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Semua ini bertujuan demi menjaga kepentingan rakyat Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Di sini, kematangan politik tanpa memikirkan “puak” atau jenama parti, wilayah serta isu bobrok atau “kebudak-budakan politik sempit” wajar dilontar jauh-jauh, agar kita benar-benar menikmati erti merdeka ini.
Tidak perlulah kita mencari “merdeka” lain, selepas generasi berjasa kita mengorbankan, jiwa dan nyawa, masa dan tenaga mereka menyediakan “lowongan” dan “jalan” agar anak cucu dapat merasai dan mengisi makna merdeka ini.
Abang Johari seperti sebelum ini turut mengulangi kesungguhan Kerajaan Negeri memperjuangkan hak Sarawak yang terhakis seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963.
Ya, kalau perlu dikatakan perjuangan, inilah perjuangan. Kita tidak meminta lebih, hanya meminta hak sendiri agar dikembalikan secara adil selain memenuhi janji-janji yang sudah terikat.
Perjuangan pemimpin Sarawak sudah dikira wajar dan memadai dalam hal ini kerana kesetiaan pemimpin dan rakyat majoriti negeri ini tidak nampak “derhakanya”, kecuali sekerat dua kerat manusia yang dangkal hujahnya dan keburu nafsu mencadangkan tindakan “nakal” seperti lebih baik Sarawak keluar dari Malaysia.
Jika Sarawak keluar dari Malaysia, lalu apa lagi selepas itu?
Dalam memperjuangkan hak Sarawak, Abang Johari berkata baru-baru ini Ordinan Perlombongan Minyak 1958 dipinda bertujuan memperkukuh fungsi kawal selia Kerajaan Negeri terhadap industri minyak dan gas, hiliran mahupun huluan di negeri Sarawak — selaras usaha memastikan hak Sarawak terus terpelihara.
Ya, selagi berteraskan undang-undang sebarang tindakan seperti itu umpama menarik rambut dari dalam tepung.
Abang Johari mengumumkan setakat ini di bawah pentadbiran beliau, sebanyak RM7 bilion dibelanja bagi menyelesaikan krisis air di seluruh negeri serta bai tujuan membina jalan, jambatan dan projek lain yang memerlukan peruntukan segera tanpa bertangguh menunggu dana Kerajaan Persekutuan.
Semua ini menurut Abang Johari membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih selesa, khususnya penduduk di luar bandar dan pedalaman.
Bahkan, Abang Johari dalam pemerintahannya menangguhkan beberapa projek besar demi kelangsungan Sarawak seterusnya, merempuh era baru digitial, agar kemudahan rakyat di luar bandar dan pedalaman yang mendesak dapat disegerakan.
Kalau kita mengaku diri kita merdeka, maka berfikirlah waras seperti orang merdeka, berbicara, memberi komen dan berhujah seperti orang merdeka, usahlah berdolak-dalik menyambut kemerdekaan 61 tahun Persekutuan dan 55 tahun peringkat Negeri. –Sarawakvoice
