Suspek samun berbaju kurung diburu polis

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
ROMPAK… Suspek utama mendatangi premis dengan memakai pakaian wanita dan memegang pisau.

PADAWAN: Dua lelaki dipercayai warga tempatan kini sedang diburu polis bagi membantu siasatan berhubung kes samun bersenjata sebuah premis yang berlaku Isnin lalu (22 Mei).

Ketua Polis Daerah Padawan superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, satu pasukan khas ditubuhkan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak telah ditubuhkan bagi memburu kedua-dua suspek.

“Polis mengesahkan seramai dua suspek terlibat di dalam kejadian iaitu seorang suspek menunggu di luar dengan menggunakan sebuah motosikal.

“Manakala suspek utama masuk ke dalam premis dan melarikan peti jualan runcit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek utama telah mendatangi premis berkenaan dengan berpakaian seperti wanita dan membawa objek senjata pisau.

Hasil siasatan lanjut katanya, mangsa iaitu pekerja premis disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan susulan kejadian.

Justeru, beliau menegaskan agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden bagi mengelak kekeliruan dan kegusaran masyarakat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan iaitu kes rompak berkumpulan.

Jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh 20 tahun dan sebatan.

Berkaitan