Suntik kreativiti, inovasi

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
TAHNIAH... Kuong Hiing menyampaikan hadiah kepada pasukan yang memenangi pertandingan itu.

SARIKEI: Penganjuran aktiviti sukan bukan sahaja mampu mengetengahkan bakat, malah medium terbaik untuk membina dan merapatkan silaturahim dalam kalangan masyarakat. Justeru, program sukan seperti pertandingan bola sepak, futsal, sukaneka, olahraga dan sebagainya, tidak harus memfokuskan satu peringkat umur sahaja, sebaliknya perlu melibatkan penyertaan komuniti setempat dalam semua kategori.

Sehubungan itu, ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, sukan mampu membina keyakinan diri, menyuntik kreativiti dan inovasi khususnya dalam kalangan generasi muda. “Usaha ini juga sangat penting untuk memupuk semangat kesukanan dan mengukur kemampuan setiap individu melalui aktiviti kecergasan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Pertandingan Futsal Daerah Meradong Tahun 2023 di Padang Futsal Skim B Meradong, semalam. Kejohanan bertujuan mencungkil bakat baharu dalam arena futsal selain menarik penyertaan golongan muda dalam aktiviti yang lebih sihat dan bermanfaat.

Pertandingan mendapat sambutan baik melalui penyertaan sebanyak 11 pasukan yang sebahagian besarnya melibatkan golongan belia dari kawasan sekitar DUN Meradong. Pada majlis yang sama, Kuong Hiing turut menyampaikan sumbangan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) RM 5,000 kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Skim B Meradong bagi kerja menaik taraf gelanggang futsal dan balai raya. Turut hadir, Pegawai Perpaduan Bahagian Sarikei,. Erma Farida Yusuf dan Pengerusi Pengelola, Ravica Francis.

 

Berkaitan