Sultan Selangor berkenaan terima pingat dipulangkan Dr Mahathir

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima pemulangan pingat kebesaran daripada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan  isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Setiausaha Dewan Diraja Selangor Hanafisah Jais berkata pihak istana menerima pemulangan itu tanpa halangan.

“Tindakan mewartakan pembatalan kurniaan darjah-darjah dan bintang-bintang kebesaran Selangor tersebut akan dilakukan mengikut prosedur dan proses yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

“Adalah dimaklumkan DYMM Sultan Selangor telah berkenan menerima pemulangan kembali darjah-darjah dan bintang-bintang kebesaran Selangor tersebut daripada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali tanpa halangan,” katanya lagi.

Semalam  media  melaporkan pasangan itu menyerahkan semula anugerah kebesaran berkenaan pada Khamis lalu.

Dr Mahathir yang kini Pengerusi Pakatan Harapan selepas keluar dari Umno  menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) kelas pertama pada 22 Jun 1978.

Beliau juga menerima Darjah Yang Amat Dihormati Kelas Pertama (DK) sebulan sebelum bersara sebagai Perdana Menteri pada Oktober 2003.

Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri paling lama memerintah, iaitu 22 tahun.

Dr Siti Hasmah  pula memulangkan dua anugerah yang diterimanya daripada Sultan Selangor pada 1983 dan 1994, iaitu Darjah Datuk Paduka Mahkota Selangor dan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor.

Pemulangan itu dilihat sebagai tindakan balas bersifat proaktif oleh Dr Mahathir selepas Sultan Sharafuddin murka terhad kenyataan beliau yang menyifatkan Bugis ialah lanun. – Sarawakvoice

Berkaitan