KUCHING: Sarawak mengesahkan sukan elektronik (e-sukan) sebagai sukan yang akan dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang akan berlangsung pada tahun 2024.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan, perkara tersebut telah dipersetujui oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dalam sesi perbincangan bersama exco sukan setiap negeri baru-baru ini.
“Kita telah berbincang dengan exco sukan negeri-negeri pada tiga hari lalu sama ada hendak meletakkan sukan ini sebagai satu daripada sukan yang akan dipertandingkan dalam Sukma 2024.
“Kesemua exco sukan termasuk KBS telah bersetuju untuk meletakkan e-sukan dalam Sukma 2024 dan ini akan menjadi kali pertama e-sukan sebagai sukan kompetitif dengan pingat dalam temasya Sukma,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Kejohanan MyBorneo E-Force Invitional 2.0 di Hotel Riverside Majestic, semalam.
Mengulas lanjut, Karim menegaskan keputusan tersebut menyaksikan e-sukan kini tidak cuma menjadi sebagai pameran sahaja tetapi akan menjadi penyumbang pingat terhadap temasya Sukma pada masa akan datang.
Beliau menambah, peningkatan minat golongan belia terhadap sukan tersebut yang begitu drastik antara perkara yang diambil kira untuk e-sukan tidak diketepikan dalam pentas Sukma.
“Peranan belia yang begitu ramai meminati sukan ini tidak dapat diketepikan walau satu ketika dahulu kita melihat ia sebagai halangan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau mengesahkan lokasi e-sukan Sukma 2024 belum lagi dikenal pasti setakat ini.
“Kita belum lagi mengesahkan atau mengenal pasti lokasinya tapi sekiranya hotel ini (Riverside Majestic) sesuai mungkin kita akan menggunakannya sebagai lokasi penganjuran e-sukan tahun hadapan,” dedahnya.
Dalam pada itu, beliau mengakui e-sukan kini merupakan satu sukan sihat dalam meningkatkan jaringan silaturahim antara peserta satu sama lain.
“Ada perkara lain kita perlu fahami dan berhati-hati dalam terlibat dalam e-sukan iaitu kita mesti jangan lupa tanggungjawab dan peranan dalam meningkatkan kemahiran sosial dalam kehidupan.
“Kadang-kadang apabila kamu terlalu sibuk fokua gaming, kamu hilang kemahiran asas itu,” ujarnya.
Justeru beliau berharap penggiat e-sukan dapat memberi keseimbangan sosial dalam e-sukan dari semasa ke semasa.