SPAD kutip denda lebih RM200,000 terhadap ulat di KLIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

SEPANG: Kehadiran pemandu Uber dan GrabCar yang mula dikesan aktif di KLIA dan KLIA2 sejak Oktober lepas menjadikan aktiviti mengulat lebih parah di lapangan terbang.

Bahkan, menurut Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Datuk Che Hasni Che Ahmad, sepanjang operasi penguatkuasaan dilakukan ada pemandu yang ditangkap sehingga tiga kali bagi kesalahan yang sama.

Hal ini menunjukkan betapa lumayannya kegiatan mengulat walaupun mereka biasanya dikenakan hukuman berat bagi kes berulang.

Bercakap pada sidang media sempena Ops Parasit di KLIA pada Selasa, Che Hasni mendedahkan lebih RM200,000 denda dikenakan SPAD terhadap ulat yang aktif beroperasi di KLIA dan KLIA2 sepanjang 2016.

Ia membabitkan 58 kes tangkapan mengikut Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 yang terdiri daripada pemandu teksi, kereta sapu, Uber dan GrabCar serta ulat tiket.

Sebanyak 58 kenderaan turut disita.

Memetik laporan Bernama, Che Hasni berkata, aktiviti mengulat berleluasa sejak bertahun lalu dan menjejaskan pendapatan pemandu teksi berdaftar di KLIA dan KLIA2.

Menurut Che Hasni, operasi penguatkuasaan menangkap individu mengulat diteruskan tahun ini dan beliau meminta kerjasama penumpang agar tidak menggunakan perkhidmatan ulat ini. – Sarawakvoice

Berkaitan