SIBU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak malam ini menyeru rakyat negeri ini, terutama kominiti Cina terus menyokong kepemimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan Barisan Nasional (BN) Sarawak bagi memastikan kelangsungan pelbagai program pembangunan yang dirancang.
Menurutnya, pembentukan sebuah kerajaan negeri yang kukuh dan disokong padu oleh segenap lapisan masyarakat penting untuk membolehkan pelbagai usaha pembangunan dapat dilaksanakan dengan teratur, pantas dan singkat.
” Oleh itu, kita perlu memberikan sokongan padu kepada ‘Pasukan Adenan’.
” Dengan keutuhan pasukan ini, maka bolehlah mereka berunding dengan Kerajaan Persekutuan bagi merancang, seterusnya melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan yang tentunya menguntungkan rakyat untuk tempoh jangka panjang,” katanya ketika merasmikan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2016 di Dataran Sibu, di sini malam tadi.
Turut hadir Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar.
Lebih 10,000 pengunjung berbilang kaum dan etnik menghadiri Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2016 ini, sekali gus memperlihat akan keutuhan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat Bumi Kenyalang.
Najib yang juga Pengerusi BN Pusat berkata, tidak ada yang mustahil dalam setiap proses perundingan dan perancangan pembangunan di Sarawak kerana kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan adalah daripada ‘pasukan’ yang sama.
” Kerajaan Pusat komited untuk membantu ‘Pasukan Adenan’ membawa pembangunan ke setiap ceruk di negeri ini agar nikmat kemajuan negara yang dilaksanakan BN dapat dikecapi rakyat di peringkat akar umbi.
” Kerajaan BN memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur, khususnya sistem perhubungan bagi membawa kemajuan ke sesebuah kawasan,” katanya sambil memetik projek pembinaan Jambatan Batang Sadong di Bahagian Samarahan, sepanjang 1.5 kilometer yang akan siap tidak lama lagi.
Tambahnya, kedua-dua kerajaan juga akan berkongsi dana dan kepakaran untuk membina Jambatan Batang Lupar sepanjang empat kilometer, yang akan menjadi pemangkin pembangunan dan pertumbuhan sosioekonomi di kawasan pesisir pantai negeri Sarawak.
Najib berkata pentadbirannya memberi perhatian serius terhadap keperluan pembangunan di negeri ini, terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar.
” Lama rakyat kita di sini mengimpikan lebuh raya. Jadi, kita mengakhiri penantian mereka melalui Projek Lebuh Raya Pan Borneo yang sedang dibina.
” April ini, kita akan melancarkan lagi siri projek itu bagi jajaran Simpang Bintangor, Julau dan Lapangan Terbang Sibu sepanjang 75 kilometer,” tambahnya.
Dalam ucapannya juga, Najib menyatakan sokongannya terhadap cadangan menaik taraf Sibu kepada status bandar raya kerana kepentingan bandar itu terhadap pembangunan serta pertumbuhan sosioekonomi setempat.
“Ia belum lagi dikemukakan kepada Kabinet tetapi saya amat teruja menyokong cadangan itu kerana implikasi positifnya untuk tempoh jangka panjang kepada rakyat, khususnya warga Sibu,” katanya. – SARAWAKVOICE.COM