MELAKA: Polis menahan lima lelaki tempatan disyaki terlibat sindiket pecah rumah dan curi kenderaan di Melaka, Selangor serta Johor melibatkan nilai rampasan lebih RM300,000.
Ketua Polis Melaka, Zainol Samah berkata semua suspek berumur 38 hingga 53 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Selangor dan Melaka menerusi Op Pintu Khas pada 18 dan 19 Mei lepas.
Katanya, lima suspek itu ditahan ekoran kejadian pecah rumah dan curi kenderaan oleh kumpulan penjenayah itu di sebuah rumah di Taman Songket, Batu Berendam di sini kira-kira 2.32 petang 17 Mei lalu.
“Kumpulan penjenayah berkenaan melarikan beberapa barangan berharga bernilai RM15,000 dari rumah seorang mangsa yang bekerja sebagai pembantu klinik pada 17 Mei lepas dan susulan laporan diterima, polis Melaka melancarkan Op Pintu Khas bagi mengesan suspek terlibat.
“Menerusi operasi berkenaan, tiga suspek ditahan di sebuah pangsapuri di Taman Bayu Perdana, Klang, Selangor kira-kira 11.30 malam 18 Mei lepas,” katanya dalam kenyataan malam tadi seperti dipetik Bernama.
Beliau berkata, suspek keempat ditahan di sebuah premis di Taman Sri Wangi, Kapar, Selangor kira-kira 3.15 pagi 19 Mei lalu, manakala seorang lagi suspek ditahan di sebuah kondominium di Cheng, di sini, kira-kira 10.45 pagi hari sama.
Katanya, empat daripada lima suspek itu mempunyai rekod lampau jenayah serta dadah, dengan saringan ujian air kencing ke atas semua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Zainol berkata, pelbagai barangan dirampas antaranya minuman keras berjenama, komputer riba, telefon bimbit, jam tangan dan pelbagai mata wang asing.
Katanya, tiga kenderaan turut dirampas, dengan dua daripadanya – Kia Cerato dan Honda City merupakan kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Permas Jaya, Johor dan Klang, Selangor.
Beliau berkata, modus operandi mereka ialah memecah masuk rumah ditinggalkan pemilik pada waktu siang dengan memotong kunci mangga jeriji besi menggunakan alat pemotong besi serta mengumpil pintu rumah.
“Suspek mengaku melakukan lebih 10 kes pecah rumah dan curi kereta di kawasan perumahan sekitar Melaka, Johor dan Selangor,” katanya sambil menambah semuanya direman enam hari mulai Sabtu lalu untuk disiasat di bawah Seksyen 457 dan 379A Kanun Keseksaan.