Seorang maut, tiga cedera kemalangan di Jalan Lapangan Terbang Miri

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
HANCUR...Kemalangan membabitkan pelanggaran kereta Perodua Bezza dan Toyota Hilux

MIRI: Seorang meninggal dunia manakala dua individu cedera selepas kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan di Jalan Lapangan Terbang Miri, sekitar jam 2 pagi tadi.

Mangsa, Lua Ukam, berusia 56 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dikeluarkan oleh bomba akibat tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

Sementara dua lagi mangsa masing-masing mengalami kecederaan di bahagian kaki dan tangan kanan dan cedera ringan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Bezza dan sebuah kereta pikap jenis Toyota Hilux.

“Kereta Perodua Bezza dinaiki tiga mangsa dan terdapat seorang mangsa tersepit di bahagian tempat duduk belakang.

“Operasi mengeluarkan mangsa dilakukan dengan menggunakan Rescue Tool.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Beliau turut mengesahkan pemandu Toyota Hilux hanya mengalami kecederaan ringan.

Terdahulu, seramai lapan anggota pasukan operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral hadir ke lokasi kejadian.

Operasi turut melibatkan pihak polis dan tiga orang pasukan KKM.

Berkaitan