Seminar, pameran pascasarjana Malaysia tarik minat pelajar Indonesia

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Sumber: BERNAMA

JAKARTA: Seminar dan pameran pascasarjana yang diadakan di sini baru-baru ini berjaya menarik minat pelajar Indonesia untuk terus menyambung pengajian pascasarjana di Malaysia, menurut Education Malaysia Global Services (EMGS).

EMGS dalam satu kenyataan memaklumkan Indonesia kini berada di antara lima negara teratas dalam senarai negara dengan permohonan tertinggi pelajar antarabangsa setakat bulan Februari 2023.

Lebih 50 institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Indonesia terlibat dalam program yang pertama kali diadakan, sekaligus menjadi platform untuk meneroka kerjasama dalam bidang pascasarjana.

Program pada 14 Mei di Menara Mandiri diadakan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi, Education Malaysia Indonesia (EMI) di Kedutaan Besar Malaysia dan Majlis Dekan Pengajian Siswazah (MDPS).

Ketua pegawai eksekutif EMGS Novie Tajuddin berkata seminar pascasarjana membahaskan dua topik mengenai ‘penelitian berimpak tinggi’ serta ‘kerjasama pascasarjana dan industri’.

Sesi meja bulat pendidikan tinggi turut diadakan yang disertai lebih 25 universiti Malaysia dan 25 universiti Indonesia membincangkan program mobiliti pelajar, pertukaran pensyarah dan kerjasama penyelidikan.

“Program ini menyumbang ke arah pelbagai potensi kerjasama pendidikan yang bermanfaat kepada Malaysia dan Indonesia,” kata Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin.

Beliau berkata pendidikan tinggi Malaysia telah jauh berkembang sehingga diiktiraf sebagai salah satu destinasi yang cemerlang dalam bidang akademik dan penyelidikan di peringkat antarabangsa.

“Kerajaan Malaysia juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan pendidikan tinggi terus maju termasuk meningkatkan kualiti kepakaran dan kapasiti,” katanya.

Justeru, beliau berkata persamaan bahasa dan budaya, yuran berpatutan, ranking universiti yang tinggi dan penggunaan bahasa Inggeris sebagai medium kuliah perlu dijadikan faktor pendorong pelajar Indonesia memilih universiti Malaysia.

“Lebih 130,000 pelajar asing termasuk 11,000 pelajar Indonesia sedang berkuliah di Malaysia setakat ini,” katanya.

Turut hadir di program penasihat pendidikan EMI di kedutaan Mohd Mubarak Shamsuddin dan pengerusi MDPS Prof Ida Madieha Abdul Ghani Azmi.

Seminar dan pameran pascasarjana turut disertai Majlis Peperiksaan Malaysia, MATRADE, Tourism Malaysia, CIMB Indonesia dan Maybank Indonesia. – BERNAMA

Berkaitan