Semangat luar biasa, mereka hero saya — Pengiran Bala

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Ungkapnya ringkas malam tadi: “Semua mereka adalah hero saya!

“Sudah lama kita tidak bermain dan bersemangat seperti ini.

Pengiran Bala membawa kemenangan kedua Sarawak di gelanggang sendiri, dengan membenam Kedah 4-2.

Semuanya gara-gara kebangkitan pada separuh masa kedua selepas ketinggalan dua gol.

“Pada waktu rehat itu, saya tegaskan kepada semua (pemain) bahawa kita bermain terlalu perlahan… dan bola banyak berlegar di kawasan tengah.

“Kita mahu ubah kerana saya mahu gunakan sepenuhnya kelebihan sayap, ketika lawan leka memberi tekanan,” dedahnya.

Kata Pengiran, beliau dan penolongnya, S Velloo sudah mengesan kekosongan di bahagian belakang sayap apabila pemain pertahanan lawan naik ke atas.

“Perkara utama selepas itu adalah untuk mendapatkan gol sulung.

“Selepas gol, corak permainan akan berubah..kerana kita tahu Kedah akan memburu gol, dan ini akan membantu menjayakan strategi kita,” katanya.

Jelasnya, dalam menghadapi pasukan seperti Kedah, strateginya adalah untuk terus-terusan menyerang, dan tidak boleh berkubu.

Sebab itu, Shreen Tambi terus-terusan menghantar bola ke bahagian sayap, kerana kita ada  pemain pantas seperti Shamie (Iszuan Amin) dan Tommy (Mawat Bada), yang kemudian diganti Sahil (Suhaimi).

Tegasnya, kemenangan 45 minit kedua itu tidak akan menjadi realiti jika para pemainnya tidak berdisiplin.

“Mereka bermain dengan cukup baik dan mengikut arahan.

“Selepas ‘kena’ dua gol pada separuh masa pertama … mereka dapat kembalikan semangat.

“Dan mereka kembali dengan perwatakan dan sikap yang menakjubkan,” katanya lagi.

Empat gol Sarawak dijaringkan Nur Shamie Iszuan Amin, Mateo Roslam (dua gol) dan Hairol Mokhtar.

Manakala gol Kedah disumbang Ken Ilso Larsen dan Baddrol Bakhtiar.

Pengiran mengakui Kedah sebuah pasukan yang kuat dan bagus.

“Dan kerana itulah saya amat gembira apabila para pemain kami berjaya bangkit.

“Kita sentiasa hormat lawan yang datang ke sini (Stadium Negeri), namun tiba masanya untuk kita memberitahu, stadium ini stadium kita.

“Dan kita perlu ada kepercayaan kepada pasukan kita,” tambahnya lagi.

Pengiran turut merakamkan penghargaannya kepada pemain ke-12 iaitu lebih seribu penyokong Sarawak yang sentiasa setia dan tidak undur, biarpun pasukan ini berada di bawah tekanan kuat.

“Merekalah tulang belakang kejayaan pasukan ini, dan saya berharap ia akan diteruskan menjelang aksi terakhir menentang T-Team, Oktober kelak,” tambahnya. – Sarawakvoice

Berkaitan