KUCHING: Penyokong setia Sarawak terus kempunan untuk menyaksikan detik kemenangan apabila giliran Johor Darul Takzim (JDT) melemaskan Sarawak di gelanggang sendiri.
Dalam aksi Piala Malaysia tersebut, anak-anak buah Pengiran Bala menunjukkan aksi melawan yang agak memukau sepanjang 40 minit permainan, sehinggalah pemain import Mohammad Ghaddar meledakkan jaringan hasil hantaran kapten Harimau Selatan, Safik Rahim.
Membariskan 60 peratus pemain muda termasuk dua pemain Piala Presiden, Pengiran Bala membuat percaturan yang berani dan berkualiti.
Namun JDT yang dibarisi pemain bintang bukanlah saingan anak-anak muda ini, biarpun mereka bangkit menentang.
Sarawak cuba memberi saingan dengan larian-larian pantas Tommy Mawat Bada dan gerakan mengelirukan Mohd Sahil Suhaimi, mahupun Milos Raikovic.
Namun segala-galanya bagai terhenti tatkala Safiq Rahim menyempurnakan sepakan percuma ke penjuru kanan gawang Aidil Mohammad untuk gol kedua JDT pada minit ke-75.
Baki perlawanan, Pengiran Bala sekadar boleh berpuas hati kerana dapat menurunkan pemain-pemain muda buat bekalan pengalaman bagi perlawanan seterusnya.
Tamat perlawanan, Sarawak kecundang dua gol.
Sarawak kekal di tangga terakhir Kumpulan D, dengan mengutip satu mata, sekali gus mengucap selamat tinggal kepada Piala Malaysia. – Sarawakvoice