Anda pernah ke Thailand? Anda pasti tahu negara itu terkenal dengan kegiatan pelacuran.
Percayakah anda, Thailand dikatakan mempunyai 2.8 juta pelacur, termasuk dua juta pelacur wanita, 800,000 pelacur kanak-kanak dan 20,000 pelacur lelaki?
Namun menurut laporan UNAIDS 2014, terdapat 123,530 pekerja seks komersial di Thailand berbanding 37,000 orang di Kemboja.
Tetapi ramai yang percaya bahawa angkanya jauh lebih besar daripada itu.
Menteri Pelancongannya Kobkarn Wattanavrangkul mahu imej industri seks dihapuskan di sebalik gerakan menggempur rumah pelacuran di Bangkok beberapa minggu terakhir.
Bangkok, kota 15 juta jiwa tidak pernah tidur dan sentiasa menggelegak dengan kegiatan ekonomi dan perniagaan.
Namun, di sebalik kemodenan dan kemajuan negara 64 juta penduduk itu, satu daripada kegiatan yang menyumbang kepada tiga peratus ekonominya ialah pelacuran.
Antara 1993 hingga 1995, pelacuran menyumbang pendapatan tahunan sekitar RM25 bilion.
Mereka membekalkan perkhidmatan seks komersial kepada lelaki hidung belang dan mereka yang mencari kelainan seks. Kita boleh katakan Thailand syurga seks komersial.
Dikatakan sekitar setengah juta lelaki Thailand melanggan pelacur dalam sehari.
Ada 25 jenis pelacur di negara Gajah Putih itu, daripada pelacur jalanan, pelacur kanak-kanak, pondan, pelacur lelaki hinggalah pelacur kelas tinggi di hotel dan apartmen mewah yang mengenakan bayaran serendah RM20 hinggalah RM2,000 sekali perkhidmatan.
Seorang bekas pekerja seks Thailand sebagaimana dipetik Reuters semalam berkata, dia mula ‘menjual dirinya’ ketika berusia 19 tahun, dan memperoleh pendapatan RM570 semalam, hampir 20 kali ganda gaji minimum RM34 sehari.
Jika anda pernah ke Patpong, di Jalan Silom, di tengah-tengah kota Bangkok selepas jam 7 petang, anda pasti akan melihat dari luar bangunan bagaimana gadis hanya memakai coli dan seluar dalam menari di hadapan lelaki, terutama pelancong asing.
Bagi sebahagian anak gadis Thailand, pelacuran ialah jalan singkat menuju kemewahan. Pembabitan dalam kegiatan seks komersial boleh membawa pendapatan tinggi.
Ya, bagi mereka ini, mengapa perlu bekerja di kilang dengan pendapatan RM400 sebulan jika di pusat pelacuran, boleh meraih RM500 atau RM4,000 satu malam?
Mereka bekerja di rumah urut, bar go go, karaoke, bar yang menjual bir, kelab malam, apartmen, hotel dan pusat pelacuran.
Di Bangkok, ada sekitar 1,500 pusat pelacuran, manakala di seluruh Thailand sekitar 8,000 pusat tempat menempatkan pelacur.
Thailand terkenal sebagai antara destinasi pelancongan seks di dunia, selain Kemboja, India, Brazil dan Mexico. Thailand juga berdepan masalah pemerdagangan wanitanya di luar negara.
Seorang sarjana Thailand yang bertugas di sebuah universiti di Singapura membentangkan kertas kerja bagaimana wanita Thailand diseludup dan menjadi pelacur di Singapura dalam satu seminar di sebuah universiti di Hat Yai, April 2012.
Malah, ada yang menyediakan perkhidmatan di dalam hutan di negara pulau enam juta jiwa itu.
Semua peserta terkejut melihat gambar dipaparkan oleh sarjana itu, mengenai ‘Mini Bangkok’ di Singapura, lengkap dengan segala keperluan, termasuk keperluan seks daripada wanita Thai sendiri.
Sebenarnya, wanita Thailand turut diseludup sehingga ke Jepun dan Eropah untuk tujuan pelacuran.
Kisah duka mereka yang diperah oleh bapa ayam, samseng, dan sindiket sering dipaparkan di dada akhbar Thailand.
Bagi pelancong hidung belang yang berpoket tebal, mereka boleh memilih pelacur kelas atas yang gebu dan cantik atau pelacur kanak-kanak di bawah 16 tahun.
Begitu rancaknya kegiatan itu di Bangkok terserlah apabila pemandu teksi dan tut tut bagai tahu di mana pusat pelacur kelas rendah dan pelacur kelas tinggi menyediakan perkhidmatan mereka.
Bagi pelancong asing, mereka tahu kegiatan pelacuran bukan hanya bertumpu di Bangkok, malah juga di Chiang Mai, Phuket, dan Hat Yai.
Bagi lelaki Malaysia yang ingin rasai urut Thai, mereka lebih kerap ke Danok dan Hat Yai, berdekatan sempadan Malaysia. Kok Samoi, destinasi pelancongan pulau mempunyai sekitar 12,000 pelacur.
Sebanyak 10 peratus daripada wang pelancong dibelanjakan untuk pelacur di pulau ini.
Banyak pengkaji menulis mengenai kegiatan pelacuran di negara ini. Jika anda rajin singgah di kedai buku di kompleks beli-belah di Siam Paragon, anda boleh saja membeli dan membaca buku seperti Travels in The Skin Trade, Patpong Sisters: An American Woman’s View of The Bangkok Sex Trade, Ladyboy, My Name Lon, You Like Me?, dan Memoir of a Thai Prostitute.
Thailand juga antara negara paling tinggi kadar penghidap penyakit AIDS.
Jumlahnya ialah 60,000 orang, tetapi dengan pelbagai langkah diambil kerajaan, jumlah itu berkurangan. Mungkinkah negara itu dapat mengurangkan kegiatan pelacuran di kalangan rakyatnya? – Sarawakvoice.com