Sedia peruntukan tingkat rangkaian internet di sekolah Sarawak

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Menteri Uitili dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi.

KUCHING: Kerajaan Persekutuan diharap menyediakan peruntukan kepada sekolah-sekolah di Sarawak bagi tujuan penyambungan rangkaian internet menerusi Projek Point of Presence (PoP).

Menteri Uitili dan Telekomunikasi, Datuk julaihi Narawi berkata, projek PoP fasa 2 akan dilaksanakan kepada 681 buah sekolah rendah dan menengah yang telah dilkenal pasti bermula tahun ini sehingga 2025.

“Dengan siapnya projek PoP ini, sekolah boleh melanggan perkhidmatan internet berkelajuan tinggi dengan syarikat telekomunikasi.

“Saya berharap Kementerian Pendidikan menyediakan peruntukan kepada sekolah-sekolah bagi tujuan penyambungan rangkaian dan langganan perkhidmatan internet agar dapat dimanfaatkan oleh pihak sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ucapan Penggulungan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini.

PoP hasil kelulusan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Komunikasi dan Digital telah melangkaui fasa 1 dengan melibatkan sebanyak 60 buah sekolah di Sarawak diliputi akses internet berkelajuan tinggi.

Menurut Julaihi, dengan siapnya Pop kelak sekolah-sekolah boleh melanggan perkhidmatan internet berkelajuan tinggi dengan syarikat telekomunikasi.

“Untuk makluman teknologi wayar 5G mampu memberi kelajuan lebih tinggi (dalam Gigabit sesaat) dengan prestasi lebih baik.

“Pembangunan 5G memberi keutamaan untuk keperluan sektor perindustrian, perniagaan, pertanian, kesihatan, pengangkutan, pendidikan, perkhidmatan, pelancongan dan hiburan serta kawasan berpenduduk tinggi,” katanya.

Sebanyak 587 buah tapak telekomunikasi 5G telah diperuntukkan untuk Sarawak bagi pelaksanaan dari tahun 2022 sehingga 2023.

Setakat ini sebanyak 218 buah tapak telekomunikasi 5G di seluruh Sarawak telah beroperasi termasuk di bahagian Kuching, Miri, Sibu, Bintulu, Samarahan, Sri Aman, dan Sarikei.

Manakala baki 369 buah tapak telekomunikasi 5G lagi akan beroperasi menjelang akhir tahun 2023.

Berkaitan