MIRI: Siapakah bakal calon yang mewakili Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Miri pada pilihan raya umum (PRU) akan datang?
Pelbagai spekulasi beredar dalam kalangan pengundi dan penduduk di sini sejak beberapa hari lalu.
Mungkinkah Ahli Dewan Undangan Negeri Piasau Datuk Sebastian Ting, Datuk Bandar Miri Adam Yii atau Adun Senadin Datuk Lee Kim Shin?
Ketiga-tiga tokoh terbabit hadir untuk membeli borang pencalonan untuk PRU-14 seperti yang dipaparkan dalam portal parti berkenaan, SUPPNews.
Menurut kapsyen, Adam Yii diiringi kedua-dua lagi pemimpin parti yang turut diuar-uarkan sebagai calon berpotensi ke majlis perbandaran Miri.
Penyandang kerusi Miri dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr. Michael Teo dijangka akan berusaha mengekalkan kerusi berkenaan meskipun popularitinya dalam kalangan pengundi sudah merosot.
Namun, penganalisis politik percaya bahawa Sebastian akan ditampilkan oleh SUPP memandangkan beliau paling popular dalam kalangan penduduk dan pengundi disebabkan sikap ramah beliau.
Miri merupakan antara kerusi utama yang menjadi sasaran BN dalam PRU ini.
BN menyasarkan untuk memenangi 28 kerusi.
Pada PRU-13, BN memenangi 25 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak. –Sarawakvoice