Saya mahu Lionel Messi — Gillan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Pengendali baharu Sarawak, Ian Andrew Gillan yakin kegigihan dan kesungguhan pemain-pemain mudanya mampu membawa skuad itu beraksi lebih jauh dalam Liga Perdana musim depan.

“Saya gembira…saya suka dengan semangat dan komitmen mereka,” katanya, yang baharu tiga minggu bersama-sama skuad Ngap Sayot itu.

Gillan yang peramah bercadang mengambil sekurang-kurangnya empat pemain import bagi menguatkan pasukan baharu pimpinannya itu.

“Kalau boleh saya mahu Lionel Messi. Namun keputusan akhirnya bergantung pada kedudukan kewangan pasukan,” selorohnya ketika diajukan gerangan pemain import yang sedang diintainya.

Beliau ditemui pada sesi jamuan teh FAS bersama media di Stadium Negeri petang tadi.

Gillan, 52 tahun bukan asing dalam kancah bola sepak tempatan kerana beliau sebelum ini pernah mengetuai teknikal Kedah.

Beliau juga pernah membimbing Penrith Napean United dan Perth Glory FC manakala musim lalu bersama-sama Ilocos United FC dari Filipina.

Untuk musim baharu bersama-sama Sarawak, beliau telah menandatangani kontrak selama dua tahun.

Menurutnya, beliau masih menilai kekuatan dan kelemahan setiap seorang pemain yang ada.

“Masih ada yang di peringkat ujian dan kita juga menunggu beberapa pemain lagi.

Katanya, menjelang pembukaan aksi kelak, beliau yakin pasukannya akan mantap dan sudah sedia untuk diturunkan.

Kemasukan Gillan adalah dengan visi membentuk pasukan baharu Sarawak, yang rata-ratanya berusia di bawah 25 tahun.

Beliau dibantu oleh Pengiran Bala dan belas jurulatih skuad belia, Mohd Safri Amit sebagai penolong. – Sarawakvoice

Berkaitan