KUCHING: Kerajaan Sarawak telah mewarta kawasan seluas 3.95 juta hektar yang melibatkan 117 kawasan sebagai Hutan Simpan Kekal setakat ini di Sarawak.
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, bagi tahun ini, dua kawasan Hutan Simpan Kekal yang baharu telah diwarta iaitu Hutan Terlindung Sepenuhnya Murum dan Hutan Terlindung Sepenuhnya Bakam.
Menurutnya, kedua-dua Hutan Terlindung Sepenuhnya itu masing-masing berkeluasan sebanyak 7,236 dan 907 hektar.
“Di samping peranannya sebagai hutan pengeluaran, Hutan Simpan Kekal juga penting untuk pemuliharaan kepelbagaian biologi, sumber hasil bukan kayu, kawasan tadah air dan riadah bagi menyokong aktiviti pemuliharaan di luar Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan menteri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.