Sentuhan akhir serba tidak menjadi menyebabkan Sarawak menggigit jari, gagal meraih tiga mata penting dalam perlawanan terakhir penuh emosi dan getir malam tadi.
Anak-anak buah Pengiran Bala hadir dengan impian tinggi ketika sepak mula jam 9 malam, namun kerja keras benteng T-Team menafikan ancaman Mateo Roskam mahupun Tommy Mawat Bada dan Nur Shahmie Iszuan.
Mohd Sahil Suhaimi pula bagaikan hilang taring biarpun berusaha gigih mencipta ruang dan peluang dari posisi tengah, sebelum dikeluarkan kerana cedera.
Akhirnya, sebaik wisel penamat ditiup, skuad muda Sarawak ini terpaksa menelan kekecewaan, bahawa rezeki mereka pada musim depan adalah dalam Liga Perdana.
Ini kerana di seberang Laut China Selatan, Alessandro Celin menjadi jentera pemusnah harapan Sarawak — yang sebelumnya berkelebihan satu mata — apabila meledakkan dua gol untuk Kelantan dalam tempoh 10 minit berbaki bagi mengeluarkan pasukan Sathit Bensoh itu dari zon penyingkiran.
Kelantan menang di tempat lawan biarpun Nicholas Swirad pada minit ke-30 meletakkan Melaka United di hadapan.
Abou Bakr Al Mel kemudian menghidupkan peluang Kelantan pada minit ke-74 menerusi tandukan cantik yang menewaskan Fadzli Paat selepas menerima hantaran lintang Azwan Aripin. – Sarawakvoice