Sarawak temu Pahang umpama perlawanan akhir — Pengiran Bala

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais mahu anak-anak buahnya fokus untuk menang dalam pertemuan Liga Super bertemu skuad Tok Gajah malam ini.

Katanya, biarpun sukar, beliau yakin anak-anak buahnya akan dapat beraksi dengan baik, bersandarkan dua perlawanan terakhir sebelum ini.

“Kita telah berjaya menghasilkan keputusan positif, termasuk seri 3-3 di Terengganu.

“Semangat serupa akan bergema di Stadium Darulmakmur malam nanti,” katanya lagi.

Posa berkata, beliau mahu anak-anak buahnya bermain bermati-matian dan jadikan aksi ini sebagai misi hidup mati.

“Usaha untuk kekal dalam gelanggang Liga Super pada tahun hadapan perlu bermula malam ini.

Ketua jurulatih Sarawak, Pengiran Bala pula mahu anak-anak buahnya menjadikan aksi perlawanan malam ini umpama perlawanan akhir.

“Kita tahu ketajaman strategi Dollah Salleh dan kemampuan anak-anak buahnya dari semua segi.

“Kerana itu kita perlu berjuang berhabis-habisan, kerana kita juga ada strategi sendiri, iaitu barisan pemain muda yang semakin menyerlah dan matang dalam beberapa aksi kebelakangan ini.

Di sebalik keterujaan para pemainnya untuk kembali beraksi, Sarawak bagaimanapun tidak dapat menurunkan kapten, Ronny Harun yang masih dibeban kecederaan bahu.

“Saya berharap mereka dapat bermain mengikut strategi yang dilakar, seterusnya sekali lagi mencipta keputusan yang positif dan mengejutkan.

“Seluruh Sarawak berada di belakang mereka,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice

Berkaitan