Sarawak sambar Milos Raickovic ganti Mark Hartmann

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Tidak sampai 48 jam kontrak pemain kelahiran Filipina, Mark Andrew Hartmann ditamatkan secara persetujuan bersama pada Khamis lalu, Sarawak mengikat pemain import baharu semalam sebagai pengganti posisi yang ditinggalkannya.

David Usop memilih pemain yang berasal dari Montenegro, Milos Raickovic Rai, 23 tahun untuk memberi pembaharuan kepada jentera tengah, selain memastikan lebih banyak gol dihasilkan.

Bekas pemain tengah skuad bawah 21 tahun Montenegro yang berketinggian 1.87 meter itu tidak banyak menyarung jersi pasukan lain sebelum ini.

Rekod menunjukkan bahawa beliau hanya bermain untuk kelab asalnya, Buducnost Podgorica, sebelum dipinjam setahun oleh pasukan FK Bratstvo.

Penglibatannya dalam pasukan itu berjaya membantu Buducnost muncul naib johan Liga Utama Montenegro selama dua musim selain muncul Juara Piala Montenegro pada musim 2012/2013 dan finalis pada musim lalu.

Kemasukan Raickovic dijangka memberi suntikan baharu, yang dapat mengatasi kemarau kemenangan pasukan Ngap Sayot itu.

Tiga hari lalu, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais mendedahkan kekecewaannya terhadap prestasi Hartmann dan membayangkan penyingkiran.

Manakala nasib seorang lagi pemain tengah, Lee Jong-ho bergantung kepada prestasi semasa, serta kemampuan pemain lain yang boleh menggantikan kedudukannya.

“Kita berusaha untuk memastikan mereka beraksi semaksimum mungkin kerana tidak mahu kerugian dari segi pampasan,” katanya.

Jika sijil perpindahan antarabangsa dapat didaftarkan dengan pantas, David dijangka dapat menguji kemampuan Raickovic pada aksi menentang Perak, Rabu ini. – Sarawakvoice

Berkaitan