KUCHING: Mesej terakhir Ketua Jurulatih Sarawak kepada anak-anak buahnya malam ini jelas, buatlah apa sahaja yang perlu, asalkan menang.
Katanya, misi pada aksi malam ini cukup penting biarpun mereka menyedari T-Team bukanlah sebarang pasukan.
“Kita hanya perlukan tiga mata. Dan tiga mata ini akan membawa kita kekal bersaing dalam Liga Super musim depan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ketika ini, Sarawak berada di tangga ke-10 liga dengan 20 mata manakala T-Team berada di tangga kesembilan, dengan 22 mata. Jika menang, skuad Bujang Senang akan mengambil kedudukan T-Team.
Kata Pengiran, semua pemainnya teruja untuk aksi terakhir pada malam ini dan berharap akan memberi persembahan terbaik.

“Kita berharap momentum bertemu Kedah akan diteruskan. Semangat hebat 45 minit terakhir dalam perlawanan itu akan kembali.
Pengiran berkata, beliau turut berharap semua penyokong Sarawak akan membanjiri Stadium Negeri dengan lautan merah malam ini, dengan aksi telah diseragamkan di seluruh negara pada jam 9 malam.
“Dengan sokongan pemain ke-12 ini, saya berharap kita akan mencipta kemenangan, dan menutup buku 2017 dengan senyuman,” katanya.
Pengiran Bala mengambil alih tugasan sebagai pengendali Sarawak pada pertengahan musim daripada David Usop, dan sejak itu berjaya membawa skuad Ngap Sayot mencipta satu demi satu kemenangan di tempat sendiri. – Sarawakvoice