Sarawak naik tangga Liga Super selepas seri tanpa jaringan di Perak

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Gambar fail

IPOH: Sarawak akhirnya naik satu anak tangga setelah berkongsi 11 mata dengan tiga pasukan lain, dalam kedudukan terkini Liga Super, semalam.

Kejayaan ini diperoleh apabila anak-anak buah David Usop itu mencuri satu mata, setelah mengikat The Bos Gaurus tanpa jaringan di Stadium Perak.

Sarawak yang menurunkan dua awang import baharu, Milos Raicovic dari Montenegro dan Sahil Suhaimi dari Singapura jelas menunjukkan peningkatan, namun masih gagal menghasilkan cubaan tepat yang menggugah.

Dalam keadaan hujan sepanjang perlawanan, padang becak dan basah menjadi faktor yang merencatkan seluruh aksi.

Bagaimanapun pujian harus diberikan kepada barisan pertahanan Ngap Sayot, terutamanya penjaga gol, Shahril Sa’ari yang berjaya menepis begitu banyak percubaan, terutamanya cubaan tepat Hafiz Kamal dan Yashir Pinto.

David Usop ketika dihubungi mengakui situasi padang becak amat mengganggu strategi kedua-dua pasukan.

“Kedua-dua pasukan beraksi seimbang dan sering melancarkan serangan, namun keadaan gelanggang menyebabkan banyak hantaran tersekat.

Katanya, kedua-dua pemain import baharu yang ditampilkan bermain agak baik, namun masih terlalu awal untuk dihamburkan pujian.

“Mereka baharu tiga hari bersama pasukan dan masih banyak yang perlu diperkemas,” katanya.

David turut memuji prestasi Shahril dan barisan pertahanan yang dapat mengekang cubaan-cubaan berbahaya anak-anak buah Mehmet Durakovic.

Manakala kepantasan pemain-pemain muda Sarawak seperti Abdul Rahim Abdul Razak dan Tommy Mawat Mada, amat membantu Mateo Roskam dan Sahil mengucar-kacirkan kubu lawan.

Katanya, rehat panjang sepanjang Ramadan ini akan digunakan untuk memperkemas serangan, terutamanya sentuhan penyudah sebelum aksi bersambung semula pada Julai depan. – Sarawakvoice

Berkaitan