Sarawak menang kerana aksi 45 minit terbaik dalam kempen Liga Super 2017

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Entah, semangat apa yang disuntik Pengiran Bala pada waktu rehat, namun ia benar-benar menjadi.

Umpama mimpi, sebuah pasukan yang longlai dan tenggelam punca akibat permainan mudah lawan,  tiba-tiba bertukar wajah dan bertenaga.

45 minit kedua malam tadi,  boleh dianggap persembahan terbaik skuad Sarawak sepanjang kempen Liga Super tahun ini.

Mereka bangkit daripada ketinggalan dua gol pada separuh masa pertama untuk melenyapkan cabaran Kedah, yang berada di tangga ketiga liga.

Dalam 45 minit pertama tu, Sarawak perlu mengakui skuad Helang Merah berada dalam kelas tersendiri, terutama dari aspek kawalan dan sentuhan bola. Segala-galanya cukup menarik dan serasi.

Ini disusuli gol pertama pelawat di Stadium Negeri menerusi Ken Ilso Larsen yang memanfaatkan hantaran Mohd Syazwan Zainon pada minit ke-7.

Kurang 10 saat menuju rehat, kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar meresahkan penyokong Sarawak apabila menanduk tepat ke penjuru kiri Mohd Shahril Sa’ari, juga hasil hantaran Mohd Syazwan untuk mendahului dua gol.

Di dalam bilik rehat, Pengiran mengerahkan pengalamannya, membina semangat baharu pasukan untuk tidak berputus asa.

Nur Shamie Iszuan Amin merealisasikan semangat Ngap Sayot itu apabila meledakkan tendangan ke penjuru kiri gawang Kedah susulan hantaran Mateo Roskam, untuk merapatkan defisit ketika aksi berusia 53 minit.

Lima minat berselang, tindakan penjaga gawang Kedah, Mohd Ifwat Akmal melambat-lambatkan permainan memakan diri, apabila sepakan percuma selepas itu menghadiahkan penalti kepada Sarawak, kerana bola tertampan tangan pertahanan Kedah.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Roskam untuk gol penyamaan Sarawak.

Semangat terus membuak selepas itu, apabila Roskam sekali lagi muncul wira apabila melakukan rembatan kemas pada minit ke-63 untuk Sarawak mendahului 3-2.

Kedah yang semakin kurang mencengkam,  cuba bangkit, namun tekanan menyebabkan usaha pasukan itu menjadi tidak menentu.

Pada minit ke-74, Baddrol menerima kad merah setelah menyiku Shamie,  kemuncak kepada aksi dan terjahan keras kedua-dua pasukan sebelum itu.

Situasi tersebut dimanfaatkan oleh kapten Sarawak, Hairol Mokhtar yang menanduk masuk sepakan sudut Shamie pada minit ke-76 untuk melebar jurang gol.

Ini kemenangan kedua Sarawak di tempat sendiri, dan perlu menunggu aksi menentang T-Team 21 Oktober depan untuk penentuan kedudukan akhir dalam Liga Super pada musim depan.

Keputusan itu juga membolehan skuad Bujang Senang keluar dari zon penyingkiran,  namun hanya mendahului Kelantan dengan satu mata,  selepas anak-anak buah Zahasmi Ismail seri satu sama menentang PKNS FC.

Dalam aksi terakhir pada 21 Oktober,  Kelantan akan melayan Melaka United di tempat lawan. – Sarawakvoice

Berkaitan