KUCHING: Meskipun jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak disifatkan sebagai membimbangkan, Timbalan Premier Sarawak Datuk Sri Dr Sim Kui Hian berkata kerajaan negeri kekal komited untuk menghapuskan wabak itu menjelang 2030, selaras dengan sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Beliau berkata kerajaan negeri akan melaksanakan pelbagai usaha bagi mengekang penularan wabak membawa maut itu dan Sarawak boleh diisytiharkan sebagai bebas rabies sekiranya negeri itu kekal bebas rabies haiwan dan manusia bagi tempoh sekurang-kurangnya dua tahun berturut-turut.
Ketika ini terdapat 31 klinik gigitan anjing yang menyediakan vaksin antirabies diwujudkan bagi menangani situasi di seluruh negeri.
“Kita juga mengadakan ceramah kesedaran secara berterusan dan mengedarkan risalah kepada orang ramai untuk memperkasakan mereka dengan pengetahuan pencegahan dan kawalan penularan rabies,” katanya semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini pada Selasa seperti dilapor Bernama.