RM1 juta simpanan lelaki dari Sarawak ini lesap sekelip mata

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Seorang ahli perniagaan tempatan mengalami kerugian RM1 juta yang disimpan selama 20 tahun apabila lesap sekelip mata akibat penipuan bank.

Pembantu Khas Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Michael Kong berkata, mangsa yang dikenali sebagai Lee, 39, telah menerima panggilan dari nombor yang tidak dikenali pada semalam yang mendakwa dari Pos Laju.

Katanya, pemanggil itu mendakwa terdapat bungkusan dikirim kepada mangsa dan meminta kata laluan bank satu kali (OTP).

“Sebagai seorang ahli perniagaan yang bijak, dia merasakan sesuatu tidak kena dan meletakkan panggilan.

“Selepas panggilan itu, encik Lee memutuskan untuk menyemak akaunnya dan mendapati RM1 juta telah dikeluarkan tanpa kelulusannya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, di sini hari ini.

Kong berkata, berdasarkan rekod bank mangsa, wang miliknya telah dipindahkan ke akaun bernama Celcom Sdn Bhd.

Beliau memberitahu, mangsa hanya menjawab panggilan telefon, bukan kes memuat turun perisian perosak (malware).

“RM1 juta yang dipindahkan dari akaun Encik Lee dalam dua transaksi, masing-masing bernilai RM500,000 setiap satu. Tiada OTP atau notifikasi dihantar kepada kepada Encik Lee.

“Tambahan pula, jika seseorang mengeluarkan RM20,000 dari akaun banknya menerusi kaunter, kebanyakkan bank masa kini memerlukan pemilik akaun untuk mengisi borang dan perlu menjawab beberapa soalan yang mewajarkan pengeluaran RM20,000 tersebut,” katanya.

Justeru beliau berkata, sekiranya pengeluaran RM20,000 menyukarkan, bagaimana dua kali pengeluaran sebanyak RM500,000 dapat dilakukan dalam beberapa minit?

Kong berkata, bank seharusnya menjadi tempat yang selamat untuk membuat penyimpanan wang.

“Kini, kelihatan bank juga tidak selamat, jadi di mana kita, orang biasa boleh menyimpan wang simpanan kita?

“Ini adalah tanggungjawab asas kerajaan untuk melindungi harta rakyat dan oleh itu, kerana kesan dan implikasi serius penipuan ini, saya menyeru Kerajaan untuk bertindak segera ke atas perkara ini,” ujarnya.

Beliau berkata, mangsa telah membuat laporan kepada bank dan laporan polis berhubung transaksi tersebut.

Malah tambahnya, beliau bersama seorang lagi pembantu khas kepada Chieng Jen, Sim Kiat Long telah menemani Lee ke Maybank untuk membuat tindakan susulan terhadap aduan yang dilaporkan semalam.

Berkaitan