KUCHING: Seorang remaja lelaki diperintahkan ke Sekolah Hendry Gurney sehingga berusia 21 tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah kerana mencabul kehormatan, melakukan kelucahan melampau di hadapan empat wanita berbeza dan menceroboh masuk rumah seorang warga emas lelaki.
Tertuduh berusia 19 tahun bekerja sebagai pekebun sayur itu diperintahkan ke Sekolah Hendry Gurney sebaik sahaja pendengaran laporan sosial di hadapan tiga Majistret Berasingan.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana telah menceroboh masuk ke dalam rumah seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun di Taman Kong Tiong, Jalan Stephen Yong, sekitar jam 10.30 petang, 6 Disember 2022.
Manakala pertuduhan kedua hingga ke kelima, dia didakwa mengaibkan kehormatan dengan menunjukkan kemaluannya untuk dilihat oleh empat orang mangsa wanita berusia 20 tahun hingga 35 tahun dalam empat kejadian berasingan di kawasan kediamanan mangsa di sekitar Daerah Padawan pada 6 Disember 2022, 24 Mac lepas dan 1 April lalu.
Bagi keempat-empat pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan keenam, dia didakwa mengikut Sekyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan seorang wanita warga asing di atas tangga sebuah bangunan di MJC Batu Kawa, kira-kira jam 7.30 malam, 8 April lepas.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana berkaitan.
Menurut fakta kes, kesemua kejadian, tertuduh mengekori mangsa wanita yang dilihat bersendirian sehingga ke tempat sunyi lalu terus menunjukkan kemaluannya selain meminta mangsa untuk melakukan hubungan seks dengannya.
Selain itu, tertuduh sanggup menceroboh masuk ke dalam rumah mangsa atau berada di hadapan pagar rumah sebelum melakukan perbuatan terkutuk itu.
Lima laporan polis telah dibuat oleh daripada kesemua mangsa dengan kejadian yang hampir sama seterusnya membawa kepada kepada penangkapan tertuduh.
Pendakwaan kes dikendalikan secara berasingan oleh tiga orang Pegawai Pendakwa iaitu Inspektor Mohd Adzmei Ahmad, Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang dan Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin.