Remaja curi motosikal

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Seorang remaja lelaki diperintahkan ke Sekolah Hendry Gurney Puncak Borneo selama tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah mencuri sebuah motosikal milik lelaki berusia 59 tahun.

Majistret Zaiton Anuar memerintahkan pesalah muda berusia 15 tahun itu selepas pendengaran laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah bangunan di Jalan Haji Taha, sekitar jam 11.30 pagi, 7 April lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, ketika kejadian, pengadu yang meletakkan motosikalnya di tempat letak kereta di kaki lima bangunan menyedari motosikal miliknya hilang.

Laporan polis dibuat oleh pengadu untuk tindakan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada hari sama sekitar jam 4.50 petang.

Sebelum penangkapan tertuduh, pihak polis membuat rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan Jalan Tun Abang Haji Openg dan terserempak dengan tertuduh yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Tertuduh seterusnya ditahan dan pihak polis melakukan semakan pada motosikal berkenaan.

Hasil siasatan mendapati nombor casis dan enjin motosikal ditunggang tertuduh sama dengan laporan kehilangan motosikal oleh pengadu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Berkaitan